Jho Low tuduh Singapura politikkan isu 1MDB


Jho Low (kanan) ahli perniagaan Malaysia yang didakwa berperanan penting dalam skandal 1MDB mengatakan tuduhan Singapura semalam sebagai berasaskan tanggapan yang tidak dibuktikan." – Gambar AFP, 13 Julai, 2017.

LOW Taek Jho mengecam Singapura selepas republik itu menuduh ahli perniagaan Malaysia berkenaan menjadikan 1MDB sebagai mangsanya, mendakwa Singapura ada tujuan politik dalam kempen menentangnya.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan awal hari ini, rakan rapat pentadbiran Najib Razak dan keluarga perdana menteri Malaysia itu berkata sebarang cubaan mengaitkan dirinya dengan mereka yang didapati bersalah mengaut keuntungan besar dalam perbicaraan 1MDB di Singapura hanyalah “berasaskan tanggapan yang tidak dibuktikan”.

Low, yang lebih dikenali sebagai Jho Low bagaimanapun tidak menyatakan nama Yeo Jia Wei dalam kenyataan itu. Yeo ialah bekas jurubank di Singapura yang dijatuhkan hukuman penjara 54 bulan semalam selepas disabitkan bersalah melakukan penggubahan wang haram dan kesalahan lain berkaitan 1MDB.

Yeo dilaporkan memanggil Low dengan gelaran “bos”.

Semalam, pendakwa raya Singapura dilaporkan berkata hampir AS$1 bilion yang sepatutnya digunakan sebagai pelaburan dalam urus niaga bersama PetroSaudi International Ltd dimasukkan ke dalam akaun Low.

Dia dinamakan sebagai orang penting dalam siasatan terhadap syarikat milik kerajaan Malaysia itu.

Menjawab tuduhan itu, jurucakap Jho Low berkata: “Ini contoh melampaui batas tindakan bermotifkan politik dan naratif terpilih yang mendakwa 1MDB sebagai ‘mangsa’, sedangkan sudah jelas dinyatakan pihak berkuasa Malaysia, tidak wujud salah guna dana 1MDB.”

“Tiada salah laku dibuktikan di mana-mana tempat berkaitan dakwaan salah guna dana 1MDB, dan perkembangan terbaru di Singapura tidak mengubah (fakta itu).

“Low percaya bagi mana-mana pihak yang tidak berat sebelah jika diberikan fakta lengkap akan melihat dakwaan itu pincang, berat sebelah dan membentuk gambaran tidak tepat.”

Low tidak dapat dikesan di Malaysia dan jarang muncul di tempat awam sejak Singapura dan Amerika Syarikat memulakan siasatan terhadap dakwaan wujudnya salah laku dalam 1MDB.

Dia juga tidak mengeluarkan kenyataan terbuka mengenai 1MDB.

Kenyataannya hari ini senada dengan naratif pentadbiran Najib iaitu tiada kesalahan berkaitan salah guna dana 1MDB dan mana-mana pihak berkuasa atau negara yang mengatakan sebaliknya mempunyai motif politik bermatlamat melihat perubahan rejim pentadbiran Malaysia.

Dan tindakan jurucakap Low mengulangi skrip Putrajaya mempunyai satu makna: bertujuan menggambarkan  ahli perniagaan Malaysia itu tidak berniat menentang penghuni Sri Perdana.

Terdengar bisik-bisik dalam Umno yang Low mungkin berpaling tadah daripada pentadbiran sekarang jika tekanan daripada pihak berkuasa Singapura atau AS dalam siasatan berterusan mereka terhadap 1MDB memuncak.

Kenyataannya hari ini bertujuan mendiamkan bisik-bisik itu. Kita boleh jangkakan yang beberapa menteri akan bersorak hari ini dan menuduh “musuh” Malaysia didorong motif politik dalam isu 1MDB. – 13 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen