Apa tuduhan ke atas Najib?
BEKAS perdana menteri Najib Razak didakwa dengan empat tuduhan. Beliau dituduh di Mahkamah Sesyen sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Satu pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) 2009.
Pertuduhan melibatkan salah guna kuasa selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mengambil rasuah sebanyak RM42 juta apabila “terlibat atau mengambil bahagian bagi pihak kerajaan Malaysia” untuk memberi jaminan kerajaan kepada pinjaman RM4 bilion oleh SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
Najib dituduh melakukan kesalahan itu antara 7 Ogos 2011 hingga 8 Februari 2012.
Tiga dakwaan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah wang milik SRC International, masing-masing sebanyak RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta di AmIslamic Bank cawangan Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.
Pecah amanah melibat RM27 juta dan RM5 juta itu dilakukan antara tarikh 24 dan 29 Disember 2014, manakala pecah amanah RM10 juta itu dilakukan antara 10 Februari dan 2 Mac 2015.
Apa hukuman jika sabit kesalahan?
Jika sabit kesalahan bagi pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009, Najib boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak lebih lima kali nilai suapan. Ini bermakna, kalau didapati bersalah, Najib boleh didenda sehingga RM42 juta x 5 iaitu RM210 juta.
Jika sabit kesalahan bagi tiga pertuduhan mengikut Kanun Keseksaan, Najib boleh dihukum penjara antara dua hingga 20 tahun, serta sebatan dan denda.
Bagaimanapun, Najib, 64, akan terlepas hukuman sebatan kerana undang-undang menetapkan tiada sebatan bagi pesalah berumur lebih 50 tahun.

Bila kes akan bicara?
Hakim Sofian Abdul Razak menetapkan pengurusan kes pada 8 Ogos ini, dan akan menentukan tarikh perbicaraan pada masa itu.
Beliau bagaimanapun menetapkan tarikh sementara untuk perbicaraan iaitu antara 18 hingga 28 Februari 2019, 4 hingga 8 Mac dan 11 hingga 15 Mac 2019.
Semuanya, 19 hari untuk perbicaraan.
Apa jadi dengan Najib?
Najib akan bebas sementara menunggu kes dibicara.
Beliau bebas dengan ikat jamin RM1 juta yang dibayar oleh dua anaknya, Nooryana Najwa dan Norashman. Mahkamah juga memegang dua pasport diplomatik milik bekas perdana menteri itu.
Peguam bela Najib sebelum itu mempertikaikan permohonan pendakwa untuk ikat jamin ditetapkan sebanyak RM4 juta.
Siapa peguam bela Najib?
Najib diwakili peguam kanan Muhammad Shafee Abdullah, yang juga peguam Umno dalam beberapa kes sebelum ini. Shafee mengetuai pasukan peguam bela seramai 7 peguam.

Siapa pendakwa raya?
Kes ke atas Najib dikendalikan sendiri oleh Peguam Negara baharu dilantik, Tommy Thomas, yang dibantu 11 pendakwa raya persekutuan.
Antaranya, termasuk Manoj Kurup yang bertanggungjawab mengendalikan pendakwaan kes bunuh model Mongolia, Altantuyaa Shaariibu.
Bagaimana suasana di mahkamah sepanjang Najib dituduh?
Perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta dikawal rapi oleh polis sejak awal pagi.
Penyokong Najib yang kebanyakannya terdiri daripada pemimpin dan ahli Umno menunggu ketibaan bekas presiden mereka itu, yang tiba di mahkamah lebih kurang pukul 8.20 pagi.
Sebaik Najib tiba, penyokongnya melaungkan sorakan “Bebas Najib”.
Antara pemimpin Umno yang hadir memberikan sokongan keapda Najib termasuk bekas menteri kabinetnya iaitu Ismail Sabri Yaakob dan Noh Omar serta Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman.
Semua ketua sayap Umno Malaysia yang baru terpilih dua minggu lalu juga hadir: Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad; Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajid Mohd Dusuki dan Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan.
Dua bekas pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Tun Faisal Abdul Aziz dan Lokman Noor Adam juga hadir.
Bekas ketua pengarah Jasa, Puad Zarkashi yang jadi perhatian sebelum pilihan raya umum 9 Mei lepas kerana tidak dicalonkan oleh Barisan Nasional, juga antara penyokong Najib yang hadir paling awal.
Siapa ahli keluarga Najib yang hadir?
Yang kelihatan ialah dua anaknya, Nooryana dan Norashman. Nooryana datang ditemani suaminya, Daniyar Nazarbayev.
Isteri Najib, Rosmah yang sebelum ini tidak kelihatan dilaporkan dikesan ketika prosiding sudah berakhir. Beliau diwakili dua peguam yang bertindak sebagai pemerhati.
Rosmah kali terakhir dilihat keluar dengan sebuah kereta dari kediaman mereka di Langgak Duta lebih kurang tengah malam tadi, tidak dapat dipastikan menuju ke mana. – 4 Julai, 2018.
Komen