Pemimpin tertinggi Umno hadir beri sokongan kepada Najib


Muzliza Mustafa Nabihah Hamid Bede Hong

Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob turut berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta bagi memberi sokongan moral kepada bekas perdana menteri Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insight, 4 Julai, 2018.

PENYOKONG Najib Razak semakin bertambah di kompleks mahkamah untuk menyaksikan bekas perdana menteri dan presiden Umno itu didakwa disamping kehadiran ramai pemimpin tertinggi Umno seawal jam 7 pagi.

Ketika berita ditulis, naib presiden parti yang baru dipilih Ismail Sabri Yaakob adalah pemimpin Umno paling kanan berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta.

Turut kelihatan di kalangan orang ramai adalah semua ketua sayap Umno, Noraini Ahmad (ketua Wanita Umno), Dr Asyraf Wajdi Dusuki (ketua Pemuda Umno) dan Zahida Zarik Khan (ketua Puteri Umno).

Tokoh Umno lain yang muncul termasuk bekas menteri dan Ketua Umno Selangor Noh Omar, bekas ketua unit propaganda kerajaan Puad Zarkashi, Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim.

Beberapa penyokong datang dari Kelantan untuk menunjukkan sokongan mereka kepada Najib, yang merupakan presiden Umno dari 2009 hingga 2018.

Najib meletak jawatan pada 11 Mei selepas mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan bersejarah parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau didakwa hari ini kerana penyalahgunaan dana daripada SRC International Sdn Bhd, anak syarikat bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MBD).

Tajuddin berkata beliau datang bersama 30 orang lagi untuk memberikan “sokongan moral” dan berikrar beliau dan yang lain tidak akan “membiarkan” Najib.

“Beliau berkhidmat lebih 40 tahun. Anda patut memikirkan sumbangan yang dibuatnya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Sekiranya beliau mempunyai masalah, kita tidak boleh meninggalkannya seperti itu. Jadi, biarlah undang-undang dijalankan, tetapi kita sebagai rakyat, mesti menunjukkan simpati dan sokongan moral kita.”

Pemimpin lain seperti Puad percaya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberi tekanna kepada pihak berkuasa untuk mendakwa Najib. – 4 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen