Pasukan pendakwaan ada pengalaman tuduh sekutu Najib


Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi beberapa pertuduhan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 4 Julai, 2018.

PEGUAM negara baharu, Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwaan seramai 12 orang untuk mengemukakan empat pertuduhan ke atas Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Antara peguam dari Pejabat Peguam Negara itu adalah Manoj Kurup, yang berpengalaman menjalankan pertuduhan ke atas seorang sekutu Najib, Abdul Razak Baginda.

Abdul Razak dihadapkan ke mahkamah pada 2007 atas tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Dua bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri disabitkan kesalahan atas tuduhan membunuh wanita tersebut pada 2009 dalam rentetan perbicaraan penuh dramatik.

Sewaktu menunggu hukuman dijalankan, Sirul bagaimanapun meloloskan diri ke Australia pada 2013 dan mendakwa beliau menjadi mangsa dalam kes tersebut.

Abdul Razak pula dibebaskan tanpa dipanggil membela diri terhadap tuduhan bersubahat, namun kerajaan baharu pimpinan Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk membuka kembali kes tersebut.

Dr Mahathir minggu lalu mengarahkan agar semua bukti kukuh berkaitan kes pembunuhan Altantuya dibentangkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Selain itu, Abdul Razak juga dikaitkan dengan syarikat Perimekar Sdn Bhd yang terpalit dengan skandal kontrak pembelian kapal selam Scorpene.

Kes pembelian kapal selam untuk pasukan tentera Malaysia itu, yang berlaku semasa Najib menjadi menteri pertahanan, kini turut diteliti semula oleh kerajaan baharu.

Seorang lagi timbalan pendakwa raya yang menjadi perhatian dalam kes Najib di mahkamah hari ini adalah Suhaimi Ibrahim yang berpengalaman mengendalikan kes melibatkan aktivis dan pemimpin politik pembangkang.

Antara kes mengikut Akta Hasutan yang ditanganinya melibatkan pemimpin Parti Sosialis Malaysia, S. Arutchelvan, pemimpin NGO Ali Tinju, pensyarah Universiti Malaya Azmi Sharom, dan pemimpin Amanah, Khalid Samad yang sekarang menteri wilayah persekutuan.

Sembilan lagi timbalan pendakwa raya termasuk Mohamad Hanafiah Zakaria, Ishak Mohd Yusoff dan Donald Joseph Franklin.

Turut bertindak dalam pasukan pendakwaan adalah Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Budiman Lutfi Mohamed, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan.

Mereka mengemukakan empat pertuduhan jenayah pecah amanah ke atas Najib Razak hari ini melibatkan SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad.

Najib dituduh di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zainal Abidin Kamaruddin.

Pasukan pembelaan Najib diterajui peguam kanan Shafee Abdullah. – 4 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • siapa pun yag ditugaskan untuk mengendalikan kes ni diharapkan semua akan lakukan dengan sebaik dan setulus yang mampu tanpa mengaitkan unsur2 yang tak sepatutnya

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan