Lebih 50 penyokong Najib nyala lilin luar SPRM


Penyokong Najib Razak menyalakan lilin di hadapan ibu pejabat SPRM di Putrajaya malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 3 Julai, 2018.

Ribuan penyokong setia Najib Razak tidak muncul walau dirayu untuk hadir memberi sokongan kepada bekas presiden mereka yang kini meringkuk di lokap.

Sebaliknya, hanya kira-kira 50 orang sahaja menunjukkan muka di luar ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak kira-kira jam 9 malam ini.

Mereka berhimpun dengan menyalakan lilin bagi menyatakan dukungan kepada bekas perdana menteri itu yang ditahan siang tadi.

Kumpulan berkenaan diketuai Lokman Noor Adam, bekas pegawai utama di badan propaganda Jabatan Hal Ehwal Khas, yang kini dimansuhkan pentadbiran baharu Pakatan Harapan (PH).

Ditanya mengenai mesej yang ingin disampaikan kepada SPRM dalam perhimpunan itu, Lokman berkata tindakan itu hanya akan membazirkan masa.

Ini memandangkan, mereka tidak percaya kepada kredibiliti SPRM dan pasukan petugas khas 1MDB dalam menjalankan siasatan ke atas Najib.

Beliau turut mengambil peluang di perhimpunan itu untuk mengkritik dasar yang diperkenal kerajaan PH.

“Jangan kita biarkan diri kita diperbodohkan rejim Mahathir,” katanya yang turut melaungkan slogan “Hidup Najib” dengan disambut oleh para pengikutnya.

Turut menggerakkan perhimpunan itu adalah seorantg lagi anggota Umno, Tun Faisal Abdul Aziz yang mendakwa Najibi tidak dilayan dengan saksama dalam siasatan terhadapnya.

 “Siapa yang beri kuasa kepada pasukan petugas khas 1MDB untuk keluarkan perintah tangkap Najib?” tanyanya.

Penyokong Najib yang berhimpun itu turut menyanyikan lagu “Allah Selamatkan Najib” serta melaungkan slogan “Tangkap, tangkap; tangkap Mahathir” dan “Bebas, bebas; bebas Najib” – slogan yang nadanya selama ini sering terdengar dalam protes Pakatan Harapan, sebelum gabungan politik itu jadi kerajaan selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Najib dijangka berdepan lebih 10 tuduhan termasuk mengubah wang haram mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2011.

Pendakwaan ke atas Najib dijangka akan dikendalikan Peguam Negara, Tommy Thomas.

Awal petang tadi, Najib ditahan oleh SPRM di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur, berhubung siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB.

Najib disiasat berhubung wang RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun peribadinya yang dipercayai diseleweng daripada dana 1MDB, serta duit RM42 juta yang dipercayai dimasukkan ke akaun peribadinya dari SRC International.

Bekas perdana menteri itu bagaimanapun menafikan semua tuduhan.

Dalam wawancara dengan agensi berita Reuters baru-baru ini, Najib berkata, beliau tidak tahu menahu urusan akaun peribadinya kerana ia dikendalikan oleh bekas pengarah SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil sebagai pemegang surat kuasa wakil. – 3 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Brp ramai yg hadir?

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Qadaffy MT Aidala · Ulasan