Anwar tidak lagi relevan bagi pemimpin muda


Melati A. Jalil

Walaupun Anwar Ibrahim sinonim dengan gerakan reformasi dan menjadi pemimpin pembangkang selama lebih dua dekad, pengaruhnya di kalangan pengundi muda pada masa ini dipertikaikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2017.

KEPUTUSAN Anwar Ibrahim untuk menarik diri daripada senarai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) mungkin mengejutkan ramai pihak tetapi bagi pemimpin muda yang muncul selepas era gerakan reformasi, keputusan itu tidak begitu penting bagi mereka.

Walaupun Anwar sinonim dengan gerakan reformasi dan menjadi pemimpin pembangkang selama lebih dua dekad, pengaruhnya di kalangan pengundi muda pada masa ini dipertikaikan.

Bagi golongan muda yang bakal menjadi pengundi kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), perjuangan Anwar mungkin tidak begitu dekat dengan mereka.

Aktivis pelajar Adam Adli berkata Anwar mungkin masih berpengaruh dalam sesetengah kalangan generasi muda tetapi sama ada agenda perubahannya itu masih relevan dengan belia sekarang kekal menjadi tanda tanya.

Beliau berkata Anwar tiada kelebihan dalam dinamik politik semasa pada masa ini kerana Dr Mahathir Mohamad yang sedang giat memainkan peranan penting sekarang.

“Dengan Anwar di penjara, dia memainkan peranan kurang penting sekarang dalam mempengaruhi pengundi muda.

“Dia mungkin masih sangat berpengaruh dalam kalangan parti politik, tetapi kurang dalam kalangan masyarakat sejak dia dipenjarakan,” kata Adam.

Katanya, ada banyak elemen yang boleh memberi inspirasi kepada belia untuk menyertai perjuangan itu, dan Anwar bukan satu-satunya alasan sekarang.

“Untuk tahun-tahun mendatang, pemberontakan belia sudah menetapkan rentak mereka sendiri. Jadi kita boleh faham mengapa pengaruh Anwar semakin lemah dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Seorang lagi aktivis pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Asheeq Ali Sethi Alivi berkata pihak pembangkang perlu mempersiapkan pemimpin muda mereka, kerana terus-terusan menjadikan Anwar sebagai bakal perdana menteri tidak diterima baik dalam kalangan pengundi muda.

“Sebagai belia, saya mahukan calon perdana menteri yang tetap dan kemudian saya akan undi untuk parti itu. Tanpa menamakan calon perdana menteri, kelihatan mereka seperti tidak ada hala tuju,” kata pelajar jurusan undang-undang itu.

Katanya, PH perlu mencari alternatif lain seperti Menteri Besar Selangor Azmin Ali yang mempunyai rekod baik dalam menguruskan Selangor, negeri terkaya di Malaysia.

Anis Syafiqah Mohd Yusof, pelajar Universiti Malaya yang mengetuai gerakan #TangkapMO1 berkata keterujaan dalam kalangan belia untuk Anwar untuk mengetuai pembangkang pada masa ini berbeza dengan mereka yang pernah mengalami gerakan reformasi.

“Saya bertemu rakan berbeza latar belakang, penyokong pembangkang dan pro kerajaan, dan kami bincang mengenai politik. Ramai yang berfikir dia kini semakin tidak relevan,” katanya.

Anis berkata baginya tidak kisah siapa yang mengetuai negara asalkan orang itu tidak rasuah, ada kredibiliti tinggi dan berintegriti.

Penganalisis politik berkata penegasan pembangkang untuk terus berpegang kepada Anwar sebagai pemimpin juga menunjukkan ia gagal menyediakan alternatif kepada pengundi muda.

“Berkaitan Anwar, parti itu perlu pergi melangkaui beliau dan Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Belia tidak ada lagi rasa berhubungan dengan Anwar dan parti itu perlu secara serius mempertimbangkan di mana ia melihat masa depannya dalam tempoh lima tahun akan datang,” kata penganalisis di BowerGroupAsia, Asrul Hadi Abdullah Sani.

Beliau berkata kemungkinan pelantikan Dr Mahathir mengetuai PH akan hanya menambahkan kekecewaan pengundi.

“Secara asasnya, pilihan pengundi sekarang ialah Barisan Nasional (BN) semasa atau BN pada zaman 1990-an,” katanya menyamakan PH dengan BN pada zaman 1990-an di mana Dr Mahathir mengetuai gabungan parti pemerintah bersama Anwar.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata terdapat respons yang bercampur daripada pengundi muda terhadap Anwar dan “faktor Anwar” tidak lagi penting bagi pengundi kali pertama, terutama belia Melayu dan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Pasca PRU13, selepas menjalani hukuman penjara, pengaruhnya sudah mula pudar.

“Sepanjang kajian pasca PRU13 kami, Anwar bukan faktor utama bagi pengundi unda, masyarakat sivil dan mereka yang di atas pagar,” katanya.

Profesor Madya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Faisal S Hazis berkata pengaruh Anwar menyekat perbincangan mengenai pewarisan politik dalam parti dan pakatan pembangkang.

“Saya pasti mereka di dalam gerakan reformasi menghargai dan mengiktiraf usaha Anwar tetapi pada masa sama mereka perlu bergerak melepasinya.

“Kerana jika anda lihat demokrasi progresif lain, mereka kini beralih kepada pemimpin muda untuk menerajui negara,” kata ketua Pusat Pengajian Asia itu. – 21 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen