Fuzi Harun bakal diganti


Muzliza Mustafa

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun digugurkan berikutan kegagalannya mengambil tindkaan terhadap 1MDB.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2018

KETUA Polis Negara Mohamad Fuzi Harun bakal diganti kerana gagal mengambil tindakan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad, kata sumber pegawai kanan kerajaan.

“Ia adalah kes pembatalan tugas,” menurut sumber, yang mengesahkan rombakan dalam pasukan polis.

Fuzi memegang jawatan itu selama sembilan bulan, beliau menggantikan Khalid Abu Bakar yang bersara. Khalid kini dihalang daripada ke luar negara oleh Putrajaya selepas siasatan terhadap dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa diigiatkan ke atas bekas penjawat awam.

Tidak dapat dipastikan sama ada Fuzi telah menerima surat penamatannya tetapi beliau akan menyertai pegawai kanan utama yang masih belum meletak jawatan atau diarahkan berhenti oleh kerajaan Pakatan Harapan kerana gagal bertindak dalam skandal 1MDB.

Bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad meletakkan jawatan pada 14 Mei, lima hari selepas Pakatan Harapan mengambil alih kuasa.

Dzulkifli, 52, dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM dua tahun lalu pada 1 Ogos 2016.

Beliau menggantikan Abu Kassim Mohamed yang kini mengetuai pasukan siasatan skandal 1MDB. Pasukan berkenaan dibubarkan oleh perdana menteri Najib Razak.

Dzulkifli juga berdepan kontroversi tahun lalu apabila beberapa siri video beliau mempunyai hubungan sulit dengan wanita yang sudah berkahwin tersebar.

Khidmat bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali ditamatkan pada 5 Jun dan digantikan oleh Tommy Thomas.

Pada 14 Mei, hari yang sama Dzulkifli meletakkan jawatan, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Apandi diarahkan bercuti.

Apandi yang memegang jawatan sebagai Peguam Negara pada 27 Julai, 2015, membebaskan Najib daripada sebarang salah laku dalam skandal 1MDB pada 2016.

The Straits Times terdahulu melaporkan hari ini bahawa Fuzi menjadi pegawai pertama yang digugurkan dan pegawai kanan lain akan berdepan nasib yang sama dalam rombakan pasukan polis.

Rombakan itu juga menyaksikan tiga jabatan dalam pasukan polis ditutup bulan depan. Jabatan terbabit adalah Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme, Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang, Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik.

The Malaysian Insight sedang menunggu maklum balas daripada Kementerian Dalam Negeri berhubung perkembangan ini dan pengganti Fuzi. – 11 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen