KPN mengaku kenal suspek utama kes rasuah Melaka


Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar hari ini mengakui mengenali perantara utama dalam kes wang perlindungan perjudian haram, lapor Malaysiakini.com.

“Ya, beliau dikenali saya dan keluarga,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Khalid berkata demikian bagi menjawab dakwaan dibuat laman pemberi maklumat Sarawak Report yang suspek, Gopinathan Krishnan menghubungi secara terus melalui telefon terus.

Ketua polis juga berkata nombor telefon beliau turut ketahui ramai orang.

“Telefon saya diketahui semua orang. Dan semua orang menelefon, menghantar mesej kepada saya. Jika anda lihat rekod telefon saya, anda akan lihat saya menerima banyak panggilan daripada orang yang bertanya soalan.

“Malah sebahagiannya tidak saya ketahui siapa pemanggilnya,” kata beliau.

Apabila ditanya sama ada Gopinathan merupakan kenalan keluarga, Khalid berkata beliau sudah mengatakan lelaki berkenaan dikenali keluarganya.

“Pasal apa awak nak soal sampai begitu.

“Saya dah akui dia dikenali keluarga saya, dah la, awak nak tanya berapa rapat pula? Boleh pegang tangan, boleh bercium, munasabah sikit la,” katanya seperti dilaporkan portal itu.

“Dalam kes ini, jika Gopi melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang ... pegawai saya dan saya akan bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM dalam siasatan ini,” katanya.

Ketua polis turut mengambil peluang membidas pemilik Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown kerana memburukkan namanya.

“Sebelum ini, mereka tuduh saya banyak perkara seperti pergi ke Rom menggunakan wang kerajaan. Tetapi saya ditugaskan mengiringi Tengku Mahkota Pahang untuk menerima dua helikopter kami,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan menjamin laluan selamat kepada Rewcastle-Brown jika beliau datang untuk memberi keterangan di Malaysia, Khalid berkata tidak.

“Saya tidak akan menjamin beliau laluan selamat. Jika beliau mahu datang, datang dan buktikan apa sahaja tuduhan yang dibuat.

“Jika tidak, beliau akan terus bising, tuduhan tidak berasas,” kata Khalid.

Sarawak Report berkata Gopinathan memainkan peranan utama dalam menguruskan wang perlindungan bagi aktiviti perjudian haram.

Khalid berkata, mereka yang dikenali beliau dan keluarganya perlu menerima akibat jika mereka didapati terlibat dalam aktiviti haram.

Bulan lalu, 12 orang termasuk dua ketua pegawai polis daerah dan seorang ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ditangkap dan ditahan reman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Sementara itu, Khalid berkata, Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat tidak meminta polis Malaysia bekerjasama dalam samannya terhadap Jho Low bagi mendapatkan semula aset yang didakwa dibeli dengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Tidak. Ini semua  perkara sivil. Kami tidak akan campur tangan dalam sebarang perkara sivil. Kami hanya terlibat hal melibatkan perkara jenayah,” kata Khalid.

DoJ memfailkan saman untuk merampas penthouse London yang didakwa dibeli dengan dana daripada 1MDB.

Ahli perniagaan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, dikatakan menggunakan £77 juta (RM416 juta) daripada 1MDB untuk membiayai pembelian penthouse, bangunan pejabat dan sebuah flat di Stratton Street. – 14 Jun, 2017. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen