Malaysia perlu bayar RM500 juta kerana batalkan HSR, kata Dr Mahathir


Amin Iskandar

MALAYSIA perlu membayar penalti sebanyak RM500 juta sekiranya mahu membatalkan projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri turut mengesahkan kerajaan akan membatalkan projek HSR akan tetapi akan berbincang dengan Singapura terlebih dahulu.

“Saya diberitahu ia hampir RM500 juta. Saya masih perlu sahkan perkara itu.

“Ia akan mengambil masa kerana kita mempunyai perjanjian dengan Singapura. Sudah tentu ada penalti,” kata Dr Mahathir pada satu sidang media di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini. 

Dr Mahathir berkata, keputusan untuk membatalkan projek HSR itu adalah muktamad.

“Ia akan menyebabkan kita membayar sejumlah wang yang besar. 

“Ia merupakan trek yang pendek. Kita tidak akan mendapat untung daripadanya. Hanya menjimatkan satu jam,” kata pengerusi Bersatu itu.

Projek RM100 bilion itu antara projek mega inisiatif pentadbiran bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang kini sedang dipantau kerajaan semasa.

Projek yang mempercepatkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura dijangka akan memulakan operasi pada 2026.

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan Singapura hari ini mengesahkan masih belum menerima notis rasmi pembatalan projek tersebut.

Channel NewsAsia melaporkan jurucakap kementerian itu dipetik berkata republik itu bersetuju untuk meneruskan projek atas tanggungjawab bersama yang dinyatakan dalam perjanjian dua hala HSR.

“Kami telah bersetuju untuk meneruskan projek HSR berdasarkan manfaat dan tanggungjawab bersama yang ditetapkan dalam perjanjian dua hala HSR.

“Kami akan menunggu notis rasmi dari Malaysia” – 28 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen