Henti sebar berita palsu Kuala Lumpur tidak selamat, kata Saifuddin


Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata penyebaran maklumat yang tidak boleh dipercayai adalah tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2024.

MENTERI Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menggesa orang ramai untuk menghentikan penyebaran maklumat palsu yang menggambarkan Kuala Lumpur sebagai tidak selamat untuk didiami atau dilawati.

Beliau berkata penyebaran maklumat yang tidak boleh dipercayai adalah tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab.

“Telah sampai ke pengetahuan kita tentang segelintir warganet yang tatkala negara memberi tumpuan kepada insiden tanah jerlus yang memakan korban, ketika itulah juga disebarkan berita palsu secara tidak bertanggungjawab.

“Tindakan itu hanya menimbulkan keadaan cemas yang tidak sepatutnya berlaku. Saya minta untuk segera dihentikan dan kalau mereka ini dikesan, polis akan ambil tindakan mengikut lunas undang-undang kerana menyebarkan berita palsu yang menimbulkan kebimbangan dan keresahan dalam masyarakat,” katanya sebagai respons kepada dakwaan Kuala Lumpur tidak selamat untuk pengunjung, lapor Bernama.

Penyebaran berita palsu ini bermula selepas insiden lubang besar di Masjid India pada 23 Ogos di mana pelancong warganegara India, G. Vijaya Lakshmi, 48, jatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter ketika berjalan di kawasan tersebut. Walaupun usaha berterusan dilakukan untuk mencarinya, beliau masih belum ditemukan.

Operasi mencari dan menyelamat Wanita berkenaan kini beralih ke fasa pencarian dan pemulihan.

Pada Jumaat Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga memberi jaminan Kuala Lumpur tetap selamat untuk pengunjung walaupun berlakunya beberapa kejadian mendapan tanah.

Bekas timbalan menteri disiasat

Sementara itu, Saifuddin juga mengesahkan polis memulakan siasatan terhadap dakwaan seorang bekas timbalan menteri terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia yang beroperasi di Myanmar.

Beliau bagaimanapun enggan memberi komen lanjut mengenai kes tersebut untuk mengelakkan spekulasi.

“Polis membuka siasatan dan saya yakin sepenuhnya dengan profesionalisme mereka dalam menangani perkara ini.

“Namun saya boleh berkongsi maklumat dari Mesyuarat Menteri Asean Mengenai Jenayah Rentas Sempadan yang baru-baru ini di Laos di mana dinyatakan pemerdagangan manusia sedang meningkat di semua negara yang menyertai,” katanya.

Dilaporkan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mengemukakan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu memohon supaya satu siasatan dijalankan terhadap seorang ahli politik dan suaminya yang didakwa terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar. – 1 September, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen