Keluarga penyerang balai polis Ulu Tiram tidak bercampur masyarakat, kata menteri


Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata keluarga penyerang balai polis Ulu Tiram dipercayai tidak bergaul dengan masyarakat setempat kerana percaya orang lain adalah kafir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2024.

KELUARGA penyerang balai polis Ulu Tiram dipercayai tidak bergaul dengan masyarakat setempat kerana percaya orang lain adalah kafir, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

“Kita dapat ‘establish’ pertama (suspek) tidak campur dengan masyarakat dengan alasan tidak bercampur itu antaranya melalui siasatan polis adalah kerana melihat orang lain sebagai kafir.

“Sebab itu dia tidak pergi sembahyang sebab masjid itu dibina kerajaan. Kesan daripada itu sebab keyakinan dia bahawa Islam cuma dia, orang lain kafir.

“Polis buat siasatan  mereka kuat mempercayai orang lain kafir. Bila kafir ini implikasi dia besar dan putuskan silaturahim antara sesama agama, membawa implikasi buruk kepada masyarakat dan negara,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Pada 2.45 pagi minggu lalu konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang. Manakala koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak.

Susulan serangan itu polis menahan lima ahli keluarga suspek berusia 19 hingga 62 tahun bersama dua lagi yang kesemuanya direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – 23 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen