Tempoh proses mohon bawa masuk pekerja asing kini 15 bulan 23 hari


Tempoh proses permohonan membawa masuk pekerja asing sebelum ini adalah 29 bulan 13 hari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2024.

TEMPOH proses permohonan membawa masuk pekerja asing akan disingkatkan dari 29 bulan 13 hari ketika ini kepada 15 bulan 23 hari, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing ke-10 Bilangan 1/2024 yang diadakan di Putrajaya hari ini.

“Ia merupakan pengurangan signifikan sehingga 46 peratus (dalam proses permohonan),” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa itu yang turut dihadiri oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim. 

Beliau berkata sebagai contoh antara penambahbaikan daripada pengurangan tempoh ini, tempoh pembayaran levi dapat dikurangkan daripada 30 hari kepada 15 hari.

“Pengurangan tempoh itu misalnya, bagi bayaran levi ketika ini adalah 30 hari namun apabila diteliti data, hampir 77 peratus majikan membayar dalam tempoh 15 hari. Jadi mengapa kita perlukan 30 hari, jadi kita pendekkan kepada 15 hari.

“Proses kemasukan pekerja asing akan melalui beberapa peringkat, daripada kelulusan, permohonan kuota, temu duga agensi, sehingga tiba di pintu masuk negara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan berkenaan hanya akan dikuatkuasakan sehingga satu keputusan baharu dibuat kerajaan mengenai pembukaan semula kuota pengambilan pekerja asing setelah dibekukan sejak 17 Mac 2023.

Saifuddin berkata mesyuarat itu juga bersetuju untuk meneliti semula Memorandum Persefahaman (MoU) dengan 15 negara sumber pekerja asing yang akan menyentuh beberapa perkara seperti yuran, syarat kontrak dan kesihatan.

Menurutnya, Bangladesh, Indonesia dan Nepal merupakan tiga negara pembekal pekerja asing terbesar ke Malaysia sementara negara-negara sumber pekerja asing lain adalah Thailand, Kemboja, India, Filipina dan Myanmar.  

Beliau berkata keperluan pekerja di Malaysia dalam sektor perkhidmatan, perkilangan dan pembinaan adalah  mencukupi tetapi terdapat defisit dan keperluan yang tinggi dalam sektor perladangan.

Saifuddin berkata mesyuarat juga bersetuju untuk mengadakan semula Program Rekalibrasi bagi penghantaran pulang warga asing yang tinggal lebih masa di negara ini ke negara masing-masing tetapi ini bergantung kepada kelulusan Kabinet.

“Ini langkah (adakan semula Program Rekalibarasi) maklum balas kedutaan-kedutaan dari negara sumber, mereka mengesyorkan supaya ruang untuk penghantaran pulang kepada rakyat mereka itu dibuka kembali,” katanya. – Bernama, 16 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen