Muda keluarkan audit kumpul dana banjir


Ravin Palanisamy

Muda mahu mematuhi prinsip ketelusan dan akauntabiliti sekaligus menjadi contoh kepada parti politik lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2024.

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menetapkan standard baharu untuk parti politik di Malaysia dengan mengeluarkan audit bebas mengenai pengumpulan dananya untuk banjir Disember 2021.

Presiden parti Amira Aisya Abd Aziz berkata parti itu mahu mematuhi prinsip ketelusan dan akauntabiliti, sambil menambah Muda adalah parti politik pertama di Malaysia yang menggunakan firma audit pihak ketiga untuk program bantuan kemanusiaan yang dijalankan.

Walaupun tugas ini tidak mudah, Muda mahu menunjukkan contoh kepada parti politik lain, katanya.

“Muda berpuas hati dengan keputusan laporan audit ini dan berbangga kerana ia mencapai sampel yang tinggi tanpa sebarang pengecualian,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam temu bual eksklusif.

The Malaysian Insight ditunjukkan salinan audit yang dijalankan oleh salah satu firma terbesar di luar empat besar di Malaysia. Disebabkan oleh perjanjian tanpa pendedahan, identiti firma audit tidak diterbitkan.

Laporan audit itu adalah penglibatan Prosedur yang Dipersetujui (AUP) ke atas jumlah perbelanjaan untuk program bantuan banjir.

Berdasarkan laporan audit, di mana daripada jumlah RM2,070,767 yang dibelanjakan untuk ‘Misi Mari Bantu’ parti, firma audit menjalankan pensampelan rawak berdasarkan penyenaraian perbelanjaan yang disediakan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda.

Daripada jumlah itu, sejumlah RM1,016,668 (49%) telah diuji, di mana tiada pengecualian dicatatkan.

“Juruaudit menjalankan audit secara persampelan, meliputi 49% populasi (jumlah) dan tidak merekodkan sebarang pengecualian. Sampel dipilih secara rawak daripada semua kategori, termasuk item bernilai tinggi dan banyak,” kata Amira.

Beliau berkata juruaudit melengkapkan laporan audit berdasarkan keperluan etika dalam Peraturan (mengenai Etika Profesional, Kelakuan dan Amalan) Institut Akauntan Malaysia, dan Kod Etika Antarabangsa untuk Akauntan oleh Lembaga Piawaian Etika Antarabangsa untuk Akauntan.

Selain itu, juruaudit juga menggunakan Piawaian Diluluskan di Malaysia mengenai Pengurusan Kualiti, ISQM 1, Pengurusan Kualiti untuk Firma yang Menjalankan Pengauditan atau Semakan Penyata Kewangan, atau Jaminan Lain atau Penglibatan Perkhidmatan Berkaitan dalam membuat kesimpulan laporan.

Sambil melahirkan rasa lega kerana akhirnya laporan audit selesai, Amira berkata pihaknya juga akan berkongsi laporan audit yang telah disunting kepada semua penderma yang menyumbang kepada program bantuan banjir.

“Kami tidak lama lagi akan menjemput para penderma untuk bertemu, mengucapkan terima kasih kepada mereka dan memberikan mereka butiran tambahan, jika perlu.

“Jemputan itu akan dimasukkan dalam e-mel yang akan dihantar kepada mereka,” kata Adun Puteri Wangsa itu.

Topik laporan audit program bantuan banjir Muda 2021 telah menjadi pertikaian di kalangan ahli parti semasa dan bekas, serta parti politik lain.

Sebab kelewatan

Menyedari kelewatan mendapatkan laporan audit yang telah siap, Amira menjelaskan cabaran dalam menyiapkannya.

Memandangkan fokus utama Muda semasa program bantuan banjir adalah kepada kerja lapangan yang melibatkan operasi sukarelawan, bantuan dan logistik, Amira berkata proses pengumpulan data seperti resit, invois dan maklumat meliputi transaksi pembelian dan bantuan terus kepada mangsa banjir mengambil masa untuk diselesaikan.

“Ini disebabkan kekurangan kakitangan sepenuh masa yang cekap mengendalikan tugas pengurusan dokumen.

“Tambahan pula, semua kakitangan yang terlibat dalam pelaksanaan projek adalah sukarelawan, di mana sesiapa sahaja boleh menyertai misi banjir ini.

“Apabila pengambilan sukarelawan dilakukan, ia adalah tanpa mengambil kira pengalaman latar belakang. Justeru, kekurangan pengalaman dalam pengurusan bencana boleh menambah cabaran dalam menguruskan operasi mobilisasi sukarelawan, logistik, dokumentasi dan bantuan langsung,” katanya.

Dengan misi banjir yang dilakukan di beberapa negeri, Amira berkata proses komunikasi bagi pengumpulan dokumen antara pasukan Muda, komunikasi sukarelawan dan kumpulan masyarakat sivil mengambil masa.

Dengan misi banjir yang dilakukan di beberapa negeri, Amira berkata proses komunikasi bagi pengumpulan dokumen antara pasukan Muda, komunikasi sukarelawan dan kumpulan masyarakat sivil mengambil masa.

Beliau berkata ia memerlukan penyelarasan berterusan untuk memastikan semua maklumat dan dokumen lengkap diperoleh sebelum bertemu dengan firma audit.

Walaupun program bantuan banjir bermula pada Disember 2021, Amira menegaskan bahawa proses audit hanya bermula pada September 2022, selepas kerja-kerja bantuan pasca banjir.

Pada bulan-bulan seterusnya, Amira berkata pihaknya sentiasa mengadakan pelbagai program bantuan pasca banjir bagi membantu mangsa di pelbagai negeri.

Ini termasuk Projek Bangkit yang diadakan dari 27 Disember 2021 hingga 16 Januari 2022, Projek Langkah (19 Januari - 27 Jun 2022), Projek Teduh (12 Januari - 31 Ogos).

“Cabaran besar ini memberi peluang terbaik kepada Muda untuk menimba pengalaman dalam perancangan dan penyelarasan bagi melaksanakan usaha bantuan banjir berskala besar ketika itu.

“Bagi sebuah parti politik baharu yang hanya bergantung kepada sukarelawan, ini merupakan pengalaman pahit manis yang tidak akan dilupakan oleh semua sehingga hari ini,” katanya.

Wujudkan Akta Pembiayaan Politik

Amira berkata, Muda secara rasmi didaftarkan sebagai parti politik pada 23 Disember 2021, selepas berjuang selama 15 bulan untuk mendapatkan kelulusan di mahkamah.

Dalam tempoh ini, beliau berkata bencana banjir yang melanda lapan negeri mendorong parti berasaskan belia itu untuk memulakan dan mengetuai misi bencana banjir untuk rakyat Malaysia.

Beliau berkata Muda mengambil inisiatif dengan tekun dan rendah diri untuk menghulurkan bantuan melalui beberapa kempen mengumpul dana.

Tambahnya, parti itu turut bekerjasama dengan penyokongnya, badan bukan kerajaan dan rakyat Malaysia amnya bagi meringankan beban mangsa banjir ketika itu.

Walaupun tidak mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) sebagai parti politik yang sah, Amira berkata Muda tetap komited untuk berkhidmat kepada rakyat dengan mengisi kekosongan kepimpinan yang ditinggalkan kerajaan pusat dan negeri dalam menangani kemelut ini.

“Walaupun berdepan pelbagai halangan, Muda mengambil langkah segera dengan melancarkan Misi Mari Bantu - mengagihkan bekalan keperluan dan memudahkan usaha pembersihan pasca banjir.

“Muda pada mulanya menumpukan usaha bantuannya di Selangor dengan sasaran kutipan derma RM10,000 sahaja.

“Bagaimanapun, selepas mengetahui negeri lain turut terjejas, Muda menggunakan pelbagai platform media sosial untuk mendapatkan dana tambahan dan sukarelawan bagi program bantuan banjir,” katanya.

Amira berkata, dalam tempoh kurang tujuh hari, Misi Mari Bantu berjaya mengumpul lebih RM2 juta sumbangan wang tunai dan barangan daripada lebih 40,000 penderma dan menerima pangkalan data sukarelawan 10,000 individu yang sudi menyertai Muda dalam usaha murni ini.

Amira juga berkata melalui inisiatif Muda, ia berjaya membantu lapan negeri yang terjejas banjir.

Selain itu, beliau berkata Muda turut memberikan bantuan pasca banjir kepada beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) semasa usaha bantuan banjir, termasuk Hannah Yeoh (Segambut), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Young Syefura Othman (Ketari/Bentong), dan lain-lain.

Kini dengan Muda menyelesaikan laporan audit untuk tujuan kemanusiaan mereka, mereka menyeru semua parti politik dan gabungan di Malaysia - PH, Perikatan Nasional, Barisan Nasional, Gabungan Rakyat Sabah & Gagasan Rakyat Sarawak - untuk mencontohi mereka dalam program pengauditan yang melibatkan dana awam.

“Jika Muda boleh melakukannya, mereka juga harus mengikuti langkah ini untuk menunjukkan komitmen terhadap prinsip ketelusan dan akauntabiliti,” kata Amira.

Beliau berkata Muda menyokong penuh penggubalan Akta Pembiayaan Politik di Malaysia.

“Ini adalah langkah penting untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam politik negara kita, yang akan mengukuhkan kepercayaan orang ramai terhadap institusi politik,” katanya. – 16 Ogos, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen