Muda gagal rujuk siasatan terhadap hakim kepada Mahkamah Persekutuan 


MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Muda untuk merujuk beberapa persoalan Perlembagaan berkaitan siasatan terhadap Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kepada Mahkamah Persekutuan.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan itu selepas mendapati tiada merit dalam permohonan Muda.

Beliau berkata persoalan yang ingin dirujuk adalah bersifat akademik kerana pandangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah diganti oleh keputusan Mahkamah Persekutuan dalam keputusan kes bekas perdana menteri Najib Razak membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

“Justeru, mahkamah berpendapat persoalan terbabit tidak harus dipertimbang oleh mahkamah ini atau dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” katanya.

Ahmad Kamal juga berkata kuasa untuk mentafsirkan peruntukan Perlembagaan bukan secara eksklusif terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan.

“Di bawah struktur asas Perlembagaan, Mahkamah Persekutuan secara amnya adalah mahkamah terakhir bagi merujuk semua persoalan berkaitan perlembagaan. Oleh itu, mahkamah mendapati permohonan ini tiada merit di sisi undang-undang dan dengan ini, ditolak,” katanya.

Beliau kemudian menetapkan 6 Februari untuk pengurusan kes.

Pada 25 April tahun lepas, Muda memfailkan permohonan untuk merujuk isu perlembagaan terbabit bagi menentukan sama SPRM mempunyai kuasa untuk menyiasat seorang hakim mahkamah atasan yang masih berkhidmat kerana melanggar Kod Etika Hakim 2009 dan mendengar kes meskipun mempunyai konflik kepentingan.

Muda telah memfailkan saman pemula pada 12 April tahun lepas memohon deklarasi bahawa SPRM tidak mempunyai kuasa atau bidang kuasa untuk menyiasat penemuan atau pandangan bahawa Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat telah melanggar Kod Etika Hakim 2009 dan berdepan konflik kepentingan ketika mendengar kes tertentu.

Muda turut memohon deklarasi bahawa penemuan atau pandangan SPRM bahawa Mohd Nazlan telah melanggar Kod Etika Hakim atau berdepan konflik kepentingan ketika mendengar kes SRC International Sdn Bhd adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan. – Bernama, 17 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen