Masa depan Muda suram dengan sabitan Syed Saddiq, kata pemerhati


Noel Achariam

Pemerhati politik berpandangan masa depan Muda akan suram selepas presiden parti itu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disabitkan atas kesalahan rasuah semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 10 November, 2023.

MASA depan Muda kelihatan suram dengan pemimpin tertingginya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disabitkan kesalahan rasuah, kata pemerhati.

Mereka berkata keputusan mahkamah semalam merosakkan reputasi ahli Parlimen Muar dan menjatuhkan saham partinya, yang mengambil pendirian kuat terhadap rasuah dan menjulang untuk politik beretika bersih di negara ini.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata hakikatnya nama Syed Saddiq telah tercemar dan ini akan menjejaskan beliau sebagai ahli politik.

“Walaupun dia mengumumkan akan keluar, reputasi dan imej parti telah tercemar kerana Syed Saddiq adalah Muda dan Muda adalah dia.

“Sokongan kepada parti boleh merosot,” katanya.

Katanya, penyokong tegar mungkin merasakan dia dianiaya, tetapi bagi rakyat proses mahkamah telah berlaku dan ahli Parlimen Muar itu didapati bersalah.

Bagi timbalannya, Amira Aisya Abd Aziz yang mengambil alih jawatan pemangku presiden, beliau berkata dia tidaklah sepopular Syed Saddiq.

“Bukan mudah untuk dia membetulkan keadaan parti dalam masa terdekat, reputasi parti telah rosak selepas Syed Saddiq disabitkan kesalahan.”

Semalam, Syed Saddiq berkata beliau akan bercuti sebagai presiden Muda berikutan sabitan kesalahan rasuah hari ini.

Beliau berkata ia berkuat kuasa serta-merta timbalannya akan mengambil alih.

“Selepas perbincangan sebentar tadi, saya putuskan untuk kosongkan jawatan sebagai presiden Muda serta merta sementara saya membersihkan nama melalui proses mahkamah.

“Saya tidak layak untuk jawatan ini. Jawatan ini sesuai untuk seseorang yang lebih putih daripada putih,” katanya pada sidang media, semalam.

Pemerhati politik berpandangan sokongan kepada parti boleh merosot. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2023.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan kepada Syed Saddiq selepas ahli Parlimen Muar itu disabitkan kesalahan rasuah.

Bekas menteri belia dan sukan itu turut didenda RM10 juta.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali berkata beliau berisiko kehilangan statusnya sebagai ahli Parlimen Muar walaupun beliau akan membuat rayuan terhadap sabitan itu.

“Tetapi keputusan mahkamah hari ini telah merosakkan reputasi Syed Saddiq sebagai seorang pemimpin muda yang memperjuangkan ketelusan dan anti rasuah.”

Mengenai masa depan parti, beliau berkata Syed Saddiq adalah seorang pemimpin terkemuka dalam parti itu dan beliau tidak menyangka ada mana-mana pemimpin lain dalam Muda yang mempunyai ketokohan atau karisma untuk mencungkil jiwa pengundi.

“Justeru, saya percaya prestasi Muda akan menjadi lemah tanpa Syed Saddiq.”

Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata jika rayuannya gagal, ia akan menamatkan kerjayanya dalam politik dan perjalanan parti itu akan tamat.

“Muda tidak mempunyai banyak pengaruh dalam kalangan pengundi, dan berjauhan dengan pengundi akan menghakis asas sokongannya.

“Muda mungkin tidak bersetuju, tetapi ia sangat bergantung kepada Syed Saddiq. Ia masih harus dilihat sama ada ia boleh mendapatkan pemimpin yang sama atau lebih baik. Tanpa seorang, ia tidak akan diketahui oleh pengundi.” – 10 November, 2023.
 
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen