Muda, PSM umum tak tanding PRK Kuala Kubu Bharu


PARTI Sosialis Malaysia (PSM) dan Muda hari ini umum tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.

Keputusan itu diambil bagi membolehkan pengundi di KKB melaksanakan hak mengundi mereka dan mengemukakan referendum yang kuat terhadap prestasi kerajaan Madani, kata Pemangku Presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz pada sidang media bersama Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata keputusan itu juga bagi membolehkan pengundi membuat keputusan antara parti pemerintah penyandang dan parti pembangkang utama.

“Walaupun keputusan Muda-PSM untuk tidak bertanding, ini tidak sesekali menjadi batu penghalang untuk suara rakyat menjadi perhatian utama Muda-PSM.

“Isu-isu penting seperti kos sara hidup yang tidak sepadan dengan gaji, perumahan yang menekan golongan B40, penjagaan kesihatan awam yang semakin sempit adalah antara fokus yang perlu disegerakan oleh Kerajaan Madani.

“Malah MUDA-PSM akan menggunakan tempoh berkempen dua minggu pilihanraya kecil ini untuk melancarkan kempen-kempen rakyat,” katanya seperti dilapor media.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon diadakan esok, diikuti hari pengundian pada 11 Mei ini. 

Setakat ini, Pang Sock Tao dari DAP dinamakan sebagai calon kerajaan perpaduan, manakala pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor Khairul Azhari Saut mewakili Perikatan Nasional.

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Mendiang Lee menyandang kerusi itu sejak 2013.  – 26 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen