Malaysia tidak pernah jadi 'Harimau Asia', kata Ku Li


Bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah berkata negara telah membiayai kebanyakan projeknya, termasuk empangan dan lebuh raya, kerana pelabur asing telah menjauhi Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2024.

MALAYSIA tidak pernah menikmati status sebagai ekonomi “Harimau Asia”, sebaliknya lebih kepada “monyet”, kata bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah.

Tengku Razaleigh, lebih dikenali sebagai Ku Li, menolak label yang didakwa ramai, termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia sedang berkembang pesat kerana ia adalah sebuah negara yang kaya dan pesat membangun.

Ku Li berkata Malaysia tidak boleh membuat tuntutan sebagai Harimau Asia kerana negara telah membiayai kebanyakan projeknya, termasuk empangan dan lebuh raya, kerana pelabur asing telah menjauhi Malaysia.

“Anda panggil diri sebagai ‘Harimau Asia’, tetapi anda sebenarnya monyet. Anda tidak maju, katanya kepada FMT.

“Tetapi, kita tidak pernah jadi ‘Harimau Asia’. Itu hanya ilusi,” tambahnya.

Istilah Harimau Asia digunakan secara popular pada 1980-an dan 1990-an untuk menggambarkan ekonomi Taiwan, Korea Selatan, Singapura dan Hong Kong yang berkembang pesat.

Malaysia dijangka menjadi Harimau Asia kelima tetapi pertumbuhan ekonomi tergelincir oleh krisis kewangan Asia 1997.

Pakar ekonomi Madeline Berma mempertikaikan label Harimau Asia untuk Malaysia, mengatakan bahawa negara itu hanya layak untuk disifatkan sebagai “harimau kecil” atau “naga kecil”.

Pada 2018, Dr Mahathir dalam penggal kedua sebagai perdana menteri berkata Malaysia akan kembali sebagai ekonomi Harimau Asia sekali lagi.

Beliau mengulangi tuntutan itu pada tahun berikutnya apabila melancarkan rangka tindakan kerajaan untuk pembangunan ekonomi sehingga 2030.

Pada Jumaat, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata Malaysia sedang mengorak langkah besar untuk menuntut semula status Harimau Asianya.

Beliau berkata ini berdasarkan tinjauan positif daripada penganalisis dan agensi penarafan serta disokong oleh angka ekonomi yang menggalakkan.

“Untuk merampas kembali status Harimau Asia bukanlah impian semata-mata. Kerajaan dan saya amat yakin kita boleh mencapainya.

“Kami juga melihat ramai penganalisis kewangan di luar sana, banyak agensi penarafan, ramai orang yang mengakui bahawa Malaysia secara asasnya kembali (di landasan),” katanya kepada diaspora Malaysia di Singapura pada Jumaat. – 28 Julai, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen