PENGUNDI tidak berminat untuk mengundi parti baharu dalam pilihan raya, kata veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.
Beliau berkata orang ramai tidak mahu “membazirkan” masa mereka dan mengundi menyokong parti politik baharu kerana mereka merasakan parti ini tidak akan memberi kesan kepada keputusan pilihan raya.
“Dulu saya kata parti baru yang baru ambil bahagian takkan menjadi pilihan pengundi. Apatah lagi bertanding hanya beberapa kerusi.
“Tak mungkin boleh dapat kuasa atau jadi pengimbang. Pengundi memikir dia membazirkan masa dan undi dia,” kata Tengku Razaleigh yang lebih mesra disapa Ku Li, kepada The Malaysian Insight dalam satu wawancara baru-baru ini.
Pilihan raya enam negeri yang berakhir baru-baru ini menyaksikan Muda yang berasaskan belia menerima kekalahan besar di semua 19 kerusi yang ditandinginya dan hilang deposit.
Calon Muda turut tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kecuali presidennya Syed Saddiq Abdul Rahman, walaupun menjadi sekutu Pakatan Harapan.
Ku Li yang merupakan ahli Parlimen paling lama berkhidmat di negara ini, sebelum tewas di kerusi Parlimen Gua Musang pada PRU15, berkata parti seperti Muda sepatutnya mengambil pengajaran daripada Dr Mahathir Mohamad yang menerajui Pejuang mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya.
Pejuang juga hilang semua deposit mereka di kerusi yang ditandinginya pada PRU15.
“Oleh kerana parti seperti Muda tak dapat sokongan sehebat yang diharapkan. Sia-sia. Ini sikap mereka. Saya tahu kerana dah bertanya pada banyak pihak.
Pejuang pun sama juga. Mereka tak kenal lagi walaupun Dr Mahathir tetapi pengundi tak fikir Dr Mahathir punya parti bersedia untuk ambil alih.
“Baik tumpu pada dua blok. Satu blok berkuasa satu blok cuba rampas kuasa,” katanya.
Pilihan raya enam negeri berakhir dalam status quo - dengan PH-Barisan Nasional mengekalkan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, manakala Perikatan Nasional mengekalkan Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Pada pilihan raya itu Muda, PSM, 39 wakil bebas lain - serta lima ahli bersekutu Bersatu dan 11 calon Gerakan - kehilangan wang deposit.
Bekas ahli Parlimen yang berpengalaman itu bukanlah asing dalam penubuhan parti, kerana beliau pernah membentuk Semangat 46 pada 1988 untuk mencabar Umno pimpinan Dr Mahathir.
Ketika itu, Semangat 46 membentuk gabungan dengan parti pembangkang untuk menghadapi pilihan raya umum 1990. Walaupun begitu, mereka menunjukkan prestasi yang buruk di peringkat persekutuan.
Ku Li kembali menyertai Umno pada 1996. – 19 Ogos, 2023.
Komen