VETERAN Umno Tengku Razaleigh Hamzah memfailkan petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Gua Musang.
Beliau mendakwa kekalahannya berpunca daripada politik wang.
Pada pilihan raya itu, Tengku Razaleigh - lebih dikenali sebagai Ku Li - gagal mempertahankan kerusi berkenaan untuk penggal ke-12.
Beliau tewas kepada calon Perikatan Nasional/PAS Mohd Azizi Abu Naim dengan majoriti tipis 163 undi. Calon PAS itu memperoleh 21,826 undi, manakala Tengku Razaleigh mendapat 21,663 undi.
Petisyen itu difailkan oleh Mohd Azmi Mahmood, bagi pihak Tengku Razaliegh pada 3 Januari, dan menamakan Mohd Azizi, pegawai pengurus pilihan raya Ab Fattah Hasbullah, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.
Petisyen itu antara lain bertujuan supaya keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Gua Musang diisytiharkan tidak sah, dan SPR mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi itu, lapor Astro Awani.
“Anak guam kami mendakwa wang telah dibayar kepada beberapa pengundi sebagai balasan untuk undi mereka, dan beberapa kotak undi dari pusat mengundi tertentu tidak diambil kira,” Abu Bakar dipetik sebagai berkata.
Pengurusan kes bagi petisyen itu berlangsung semalam di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Nik Habri Muhamad, di Mahkamah Tinggi Kota Bharu. Pengurusan kes seterusnya telah ditetapkan pada 25 Januari. – 13 Januari, 2023.
Komen