UMNO telah menamakan pemimpin veteran parti Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya kecil Nenggiri, lapor New Straits Times.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan perkara itu berkata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub akan menjadi pengarah operasi pilihan raya kecil.
“Kita tewas DUN Nenggiri sebanyak 810 undi pada pilihan raya negeri Ogos lalu apabila calon Bersatu ketika itu bertanding menggunakan logo Pas. InsyaAllah, saya umumkan di sini hari ini di hadapan media bahawa Umno akan meletakkan calon untuk bertanding di Nenggiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Lipis di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di Lipis.
Katanya, beliau yakin mereka boleh memenangi kerusi itu jika parti itu bekerja keras dan menggandakan usaha.
Beliau berkata pelantikan Tengku Razaleigh, yang juga Ketua Umno Gua Musang dan Ahmad Jazlan untuk mengetuai cabaran mereka mencerminkan bagaimana Umno menghargai pemimpin tempatan dan negerinya.
“Semoga mereka dapat membimbing kita ke arah kemenangan,” katanya.
Zahid berkata semua ketua bahagian akan ke Nenggiri untuk menyokong calon parti itu, dan beliau telah mengarahkan Umno Pahang membantu dalam pilihan raya kecil itu.
Pada pilihan raya negeri Kelantan Ogos lalu, calon BN Ab Aziz Yusoff tewas kepada calon Bersatu Mohd Azizi Abu Naim, yang bertanding di bawah tiket PAS, dengan majoriti 810 undi dalam pertarungan lurus.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Ogos untuk hari pengundian, 3 Ogos untuk penamaan calon, dan 13 Ogos untuk pengundian awal.
Dewan Undangan Negeri Kelantan mengisytiharkan kerusi itu kosong pada 19 Jun selepas Azizi kehilangan keahlian Bersatu. – 29 Jun, 2024.
Komen