Umno gagal jika pilihan raya Pahang berlangsung hari ini


Ravin Palanisamy

Umno berpotensi hilang penguasaan ke atas Pahang ke tangan PN jika PRU diadakan pada masa ini, menurut tinjauan Merdeka Center. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2024.

UMNO berpotensi hilang penguasaan ke atas negeri Pahang ke tangan Perikatan Nasional sekiranya pilihan raya umum (PRU) diadakan pada masa ini, menurut satu tinjauan Merdeka Center.

Pengasas dan pengarah programnya Ibrahim berkata, tinjauan yang baru sahaja berakhir itu menunjukkan perubahan besar sokongan pengundi Melayu selepas PRU15.

“Kami jalankan analisis sekitar Januari 2024 ke atas perubahan sokongan pengundi di Pahang sejak PRU15 dan semasa enam pilihan raya negeri (yang berlangsung tahun lalu).

“Kita tahu Pahang tidak adakan pilihan raya negeri tahun lalu tetapi kita lihat bagaimana perubahan berlaku pada 2023 terhadap Umno.

“Jika pilihan raya diadakan (sekarang), sangat sukar untuk Umno menang di Pahang, secara mudahnya kerana jumlah pengundi Melayu yang beralih kepada PN sangat signifikan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tanda-tanda kemerosotan Umno di Pahang terbukti dalam PRU15 yang turut menyaksikan pilihan raya negeri berlangsung serentak pada November 2022.

Dalam pilihan raya itu, PN yang didukung PAS dan Bersatu menimbulkan kejutan apabila mendahului di negeri kubu kuat BN itu.

PN berjaya meraih 17 kerusi diikuti BN dengan 16 kerusi dan Pakatan Harapan (PH) dengan lapan kerusi.

Bagaimanapun tiada mana-mana parti atau gabungan berjaya mencapai majoriti mudah 21 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, yang membawa kepada kerjasama BN-PH.

Gabungan BN-PH berjaya mengambil alih Pahang dengan 24 kerusi negeri. PN juga menang tujuh kerusi parlimen Pahang manakala PH merampas dua kerusi.

Itulah kali pertama Umno-BN mengalami kekalahan begitu besar di Pahang.

Menurut Ibrahim, kira-kira 65% pengundi kali pertama dan pengundi muda Melayu di antara usia 18 hingga 22 tahun mengalih sokongan dari Umno, BN ke PN.

Sementara itu, beliau berkata pengundi dalam julat usia 30 hingga 50 tahun juga cenderung menyokong pembangkang.

“Perubahan ini disebabkan tekanan dialami semasa (pandemik) Covid-19, kehilangan pendapatan dan defisit keyakinan ke atas kerajaan semasa.

“Pentadbiran kerajaan pada masa ini tidak meyakinkan.

“Mereka mengalami kehilangan pendapatan, kehilangan simpanan… Semua ini masih belum diselesaikan,” katanya.

Ibrahim berkata analisis menunjukkan pengundi Melayu di negeri itu berpuas hati dengan pentadbiran Muhyiddin Yassin.

“Pada masa itu, (pengundi) berterima kasih ke atas pentadbiran Muhyiddin kerana menyalurkan bantuan kewangan.

“Ia mempengaruhi pandangan mereka bahawa kerajaan lebih prihatin dan responsif ke atas keperluan rakyat sewaktu kesusahan,” katanya.

Muhyiddin memimpin kerajaan PN dari 2020 hingga 2021.

Analisis Merdeka Centre menunjukkan pengundi Melayu di Pahang berpuas hati dengan pentadbiran Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2024.

Umno terus merosot

Menurut Ibrahim, masalah dihadapi Umno dijangka berterusan walaupun parti itu menjadi sebahagian kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan dan juga peringkat negeri di Pahang.

Katanya, persepsi negatif ke atas Umno, parti Melayu terbesar dalam negara, masih tidak berubah.

“Rakyat melihatnya sebagai parti dengan pemimpin bermasalah dan jauh dari rakyat.

Bagaimanapun, Ibrahim mengakui pemimpin kelahiran Pahang, Najib Razak masih menguasai sokongan di negeri itu.

Walaupun Najib masih menjalani hukuman penjara kerana rasuah, Ibrahim mendakwa tiada pemimpin lain dalam Umno yang mampu mengatasi pengaruh bekas perdana menteri itu.

“Pengaruh Najib pastinya menjejaskan Umno. Beliau popular di Pahang tetapi pemimpinnya di peringkat nasional kurang popular berbanding dirinya.

“Ia tidak membantu Umno yang mahu menguasai sokongan baharu,” katanya.

Ibrahim juga berkata kerjasama Umno dengan DAP yang menjadi sebahagian dari PH juga menyebabkan sokongan parti berasasan Melayu itu merosot.

“Pahang merupakan negeri majoriti Melayu, jadi agak sukar untuk mempromosi cerita kerjasama dengan DAP dengan baik.

“Anda ada jumlah pengundi konservatif yang besar, pilihan mereka selama ini sama ada PAS atau BN tetapi tiba-tiba BN ada kerjasama dengan DAP yang sedikit-sebanyak merumitkan imej bagi pengundi.”

Ibrahim berkata satu-satunya peluang bagi Umno dan BN untuk kekal relevan dan berkuasa di Pahang hanyalah melalui pakatan pilihan raya.

“Itu sedikit cabaran. Umno tidak dapat menang mudah. Jadi perlu ada gabungan berterusan.

“Perlu ada kerjasama gabungan. (Umno) tidak boleh bertanding tiga penjuru lagi.

“Satu-satunya cara untuk Pahang kekal ialah dengan kedua-dua gabungan BN dan PH bekerjasama. Bertanding solo tidak akan memberikan sokongan pada mereka.

“Jika Umno ada pakatan, mereka boleh menang tipis tetapi mereka perlu melalui satu gabungan sebelum pilihan raya atau mereka akan hilang lebih banyak kerusi dalam pertandingan tiga penjuru.

Awal tahun ini, presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang juga timbalan perdana menteri 1 berkata Umno dan BN akan bekerjasama dengan PH untuk menghadapi PRU akan datang.

Bagaimanapun pada bulan lalu, setiausaha agung PH Saifuddin Nasution berkata PH masih belum memutuskan sama ada akan bekerjasama dengan Umno-BN dalam PRU akan datang.

Sentimen pengundi Melayu seperti di Pahang menjadi perhatian sewaktu tumpuan terarah ke pilihan raya kecil yang akan berlangsung di kerusi Kuala Kubu Baru di Selangor.

Kerusi itu kosong ekoran kematian penyandangnya Lee Kee Hiong dari DAP pada Mac.

Walaupun kerusi Kuala Kubu Baru secara tradisinya dimenangi calon Cina, ia mempunyai jumlah pengundi Melayu yang besar (46.36%), diikuti Cina (30.65%), India (18.02%) dan pengundi lain (4.98%). – 1 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen