Annuar Musa: Apa guna kembali kepada parti yang rosak, tidak relevan, ditolak?


Bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa menyifatkan parti itu sebagai tidak relevan dan ditolak rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2024.

BEKAS setiausaha agung Umno Annuar Musa mempersoalkan apa gunanya kembali kepada parti yang didakwanya dirosakkan oleh jenayah pemimpinnya, tidak relevan dan ditolak rakyat.

Dalam satu kenyataan di Facebook, beliau berkata tidak perlu memberi perhatian serius terhadap kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno Jalaluddin Alias ​​bahawa parti itu sedang mempertimbangkan untuk mengambil semula beberapa bekas pemimpin dan ahli yang disingkirkan semasa “pembersihan seluruh parti” selepas pilihan raya umum ke-15 2023.

“Terpulang pada mereka berkenaan kalau mereka mahu ke mana dalam politik. Itu hak individu.

“Tidak hairan bila parti yang hanya menjadi alat dan perisai bagi pemimpinnya.Tiada lagi demokrasi dalam organisasinya.Yang membelakangkan asas dan dasar penubuhannya.Yang sudah kabur siapa teman dan siapa musuhnya…Siapa murid dan siapa gurunya…malah siapa ulil amrinya.

“Jelas deria politik mereka telah dikembirikan perlahan lahan,” kata bekas ahli Parlimen Ketereh itu.

Beliau berkata Umno masih berdiam diri apabila UiTM dilabelkan sebagai apartheid dan daripada menangani isu seperti cukai, bil dan nilai ringgit yang semakin berkurangan, ahli parti sibuk mewajarkan tindakan pemimpin mereka.

“Tidak hairan kalau beribu ribu cawangan terbiar dan gagal atau enggan bermesyuarat.

“Berjuta penyokong menukar kiblat dari satu PRU ke satu PRU.Ratusan ribu ahli tidak segan silu memilih untuk tidak ikut “menjilat” malah sebaliknya tidak takut untuk memberi pelbagai isyarat..memilih haluan sendiri dan menukar kiblat.

Yang pasti,ramai yang pergi tidak akan kembali lagi,” katanya.

Tahun lalu, Annuar, yang pernah menjadi ahli Umno dari 1972 hingga 2022, mengemukakan permohonan untuk menyertai PAS.

Beberapa pemimpin parti terkemuka seperti bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar, bekas ahli Parlimen Tanjong Karang Noh Omar, dan Isham Jalil turut disingkirkan dalam pembersihan itu.

Umno juga turut menggantung sementara beberapa pemimpin, termasuk Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dan bekas ketua penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan. – 29 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen