Umno tawar bantuan guaman untuk Akmal


Ketua Pemuda Umno Dr Muhammad Akmal Saleh semalam berkata beliau akan disoal siasat oleh polis di ibu pejabat polis Dang Wangi hari ini.– Gamnbar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2024.

UMNO akan menawarkan bantuan guaman kepada ketua pemudanya Dr Muhammad Akmal Saleh yang sedang berdepan siasatan polis, kata setiausaha agung parti.

Asyraf Wajdi Dusuki dalam catatan Facebook berkata beliau telah bercakap dengan Akmal melalui telefon berhubung penahanannya di Kota Kinabalu semalam.

“Umno telahpun meminta peguam dan penasihat undang-undang Umno Mohd Hafarizam Harun untuk membantu Dr Akmal,” katanya dalam catatan Facebook lewat semalam.

Beliau juga berkata Akmal telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis.

Akmal dibawa untuk disoal siasat oleh polis Sabah sebaik tiba di Kota Kinabalu pagi semalam.

Dia dibebaskan selepas dua jam.

Polis berkata dia disiasat di bawah akta hasutan.

Akmal berada di Sabah untuk menghadiri program Kembara Ramadan Umno di Beaufort.

Dia menjadi tumpuan selepas gesaannya berulang kali untuk bertindak dan memboikot KK Super Mart berhubung isu stoking kalimah Allah.

Akmal juga berkata semalam dia akan disoal siasat oleh polis di ibu pejabat polis Dang Wangi hari ini.– 6 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen