KETUA Pemuda Umno Dr Akmal Saleh terus berdalih dalam isu ketegangan kaum yang timbul ekoran keterlanjurannya mengulas kes stoking yang tertera kalimah Allah, kata Pemuda PKR.
Ketua Penerangan Pemuda PKR Nabil Halimi berkata, Akmal sepatutnya bertanggungjawab atas kecaman lantangnya dan kempen boikot terhadap jaringan kedai runcit KK Mart.
Nabil berkata, gesaan Akmal sepatutnya berusaha meredakan ketegangan kaum dan bukannya mengapi-apikannya lagi dengan kempen memboikot KK Mart.
Oleh itu Akmal tidak boleh berpura-pura dan enggan bertanggungjawab dalam kes ini, katanya.
“Akmal, jangan lempar batu sembunyi tangan. Sudah kami tegaskan sebelum ini bahawa seorang pemimpin politik harus meredakan suhu api ketegangan kaum masyarakat kita yang majmuk, bukan sebaliknya.
“Namun, Akmal seolah-olah masih berdegil dan sehingga kini dia masih berdalih dan tidak mengakui kesan disebabkan keghairahan dan keterlanjurannya dalam isu ini,” katanya.
Nabil juga menggesa Akmal turut berusaha mempromosi Islam secara berhikmah dan bukan dengan cara melampau.
“Janganlah kerana sikap melampau kamu, negara ini binasa. Pemimpin muda harus radikal menjadi penyatu idealisme bangsa Malaysia dan bukannya menjadi pemecah fabrik sosial negara ini…” katanya.
Beliau juga menggesa masyarakat umum untuk kekal bertenang dan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes berkenaan.
Kecaman itu timbul selepas dua cawangan kedai KK Mart dibaling bom petrol, masing-masing di Bidor, Perak dan di Kuantan, Pahang.
Susulan kejadian itu, Akmal mengecam serangan tersebut namun menegaskan kempen boikot ke atas kedai serbaneka tersebut tetap diteruskan.
Para pengasas kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd didakwa Selasa lalu atas tuduhan menyinggung perasaan umat Islam dengan jualan stoking kontroversi itu.
Dr Chai Kee Kan dan Loh Siew Mui serta tiga lagi individu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
Turut didakwa di mahkamah sama adalah pemilik syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd, Soh Chin Huat yang membekal stoking berkenaan serta dua lagi dari syarikat itu, Goh Li Huay dan Soh Hui San.
Syarikat tersebut turut memohon maaf selepas gambar memaparkan produk stoking tertera kalimah Allah itu tular pada pertengahan Mac lalu. Jualan produk berkenan juga dihentikan serta-merta.
Siasatan dijalankan selepas puluhan laporan polis dibuat terhadap KK Mart serta kempen memboikot jaringan tersebut yang digerakkan Akmal Saleh. – 1 April, 2024.
Komen