Akmal Saleh ditahan di Kota Kinabalu


Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh menjadi pengkritik lantang terhadap KK Mart berhubung isu stoking yang mempunyai perkataan 'Allah'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2024.

POLIS Sabah menahan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh di Kota Kinabalu pagi ini.

Menerusi catatan di akaun Facebook peribadinya berkata beliau ditahan di ibu pejabat polis daerah Kota Kinabalu.

Terdapat juga video penahanan itu yang memaparkan beliau diiringi menaiki kenderaan polis ketika keluar dari lapangan terbang Kota Kinabalu.

“InsyAllah saya akan berikan kerjasama sepenuhnya. Doakan semuanya dipermudahkan,” katanya.

Menurutnya, walaupun sudah dijadualkan akan memberi kenyataan di Kuala Lumpur esok, beliau tetap ditahan hari ini.

Beliau juga berkata apa yang berlaku tidak akan menjejaskan pendiriannya.

Dalam catatan lain, beliau berkata: “No Fear, No Surrender.”

Akmal tidak mendedahkan sebab penahanan tetapi terdapat gesaan agar beliau disiasat berhubung catatan di media sosialnya baru-baru ini.

Beliau menjadi pengkritik lantang terhadap KK Mart berhubung isu stoking yang mempunyai perkataan “Allah”, dan mendesak tindakan dan boikot diambil terhadap kedai itu.

Minggu lalu, gesaan agar beliau ditahan juga dibuat susulan siaran di media sosial yang menunjukkan beliau menghunus pedang.

Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun mengesahkan perkara itu dan berkata Akmal ditahan di ibu pejabat polis negeri.
“Kenyataannya kini diambil berhubung pertuduhan berkaitan hasutan,” katanya.

Sumber Umno Sabah dalam pada itu berkata Akmal, yang juga anggota exco Melaka, berada di negeri itu untuk menghadiri majlis berbuka puasa di sebuah rumah anak yatim di Beaufort petang ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain dalam satu kenyataan berkata polis sedang menyiasat Akmal di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Tambahnya, polis menerima dua laporan terhadap Akmal. – 5 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen