Dr Mahathir punca utama kejatuhan Umno, kata Ku Li


Ravin Palanisamy

Tengku Razaleigh Hamzah berkata Dr Mahahthir Mohamad mempergunakan DAP dan PH untuk mencemar reputasi Najib Razak dan merosakkan imej Umno sehingga sokongan kepada parti itu merosot. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 21 Ogos 2023.

DR Mahathir Mohamad antara individu yang harus dipersalahkan atas kejatuhan Umno ekoran sikapnya yang sering memburukkan parti yang pernah diterajuinya itu, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Veteran Umno itu berkata, Dr Mahathir tidak berhenti-henti cuba mencemar reputasi Najib Razak dan merosakkan imej parti yang menunjangi Barisan Nasional (BN) itu ketika menjadi pengerusi Pakatan Harapan (PH).

“Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH diketuai oleh Dr Mahathir berusaha untuk menjatuhkan Najib dan BN.

“Beliau benar-benar mahu tumbangkan BN, terutamanya Najib, yang dituduh macam-macam,” kata Tengku Razaleigh, yang lebih dikenali sebagai Ku Li, kepada The Malaysian Insight.

Sokongan kepada Umno dan BN merosot sejak 2008, tambah beliau, dan diburukkan lagi apabila BN tumbang kepada PH pada PRU14, kali pertama selepas 60 tahun memerintah, sehinggalah hanya mampu menang 27 kerusi pada PRU15 lalu.

Nasib BN terus malang pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos lalu. Hanya Umno yang bertanding dalam PRN, selepas MCA dan MIC mengambil keputusan untuk tidak menyertai pilihan raya di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. 

Umno cuma menang 29 daripada 108 kerusi yang ditandingi.

Mengulas lanjut, Ku Li berkata isu skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) diulang-ulang bertujuan untuk menguburkan Umno.

Dr Mahathir juga mempergunakan DAP – seteru lama Umno – untuk menjatuhkan parti berasaskan Melayu itu bagi menarik undi, kata ahli Parlimen paling lama berkhidmat di Malaysia itu.

“Mahathir ambil kesempatan daripada DAP yang pernah menjadi musuhnya semasa beliau masih bersama Umno/BN untuk menjatuhkan Umno.

“DAP juga menggunakan pengaruh Mahathir untuk pecah undi BN,” katanya.

Umno menang 54 kerusi parlimen pada PRU14.

Jelas Ku Li lagi, Dr Mahathir mendapat sokongan padu pengundi malah daripada ahli Umno sendiri ketika mengetuai PH untuk mengalahkan Najib.

Bekas ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, Umno ketika ini bukanlah ditolak sepenuhnya oleh pengundi, dan percaya parti itu berupaya untuk bangkit semula pada PRU16.

“PAS (dulu) cuma menang satu kerusi parlimen dan tak kuasai mana-mana negeri, tetapi sekarang menonjol.

“Situasi sama juga boleh berlaku (kepada Umno) kerana politik bersifat dinamik,” ujarnya. – 21 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen