MB Johor gesa orang ramai bantu cari kanak-kanak hilang


Albertine Leo Jia Hui dilaporkan hilang pada Sabtu semasa acara Bon Odori di Eco Galleria, Iskandar Puteri, Johor. – Gambar media sosial, 22 Julai 2024.

MENTERI Besar Johor Onn Hafiz Ghazi hari ini menggesa orang ramai untuk membantu mencari kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang hilang pada Sabtu lepas semasa acara Bon Odori di Eco Galleria, Iskandar Puteri.

Onn Hafiz berkata beliau menerima laporan tentang kehilangan kanak-kanak perempuan itu kira-kira jam 8.30 malama.

“Pihak polis sedang berusaha untuk mencari dan mengesan kanak-kanak tersebut. Saya juga memohon orang ramai yang mempunyai maklumat atau menemui kanak-kanak tersebut, sila laporkan segera pada balai polis berhampiran,” kata Onn Hafiz dalam satu kenyataan di Facebook.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri M. Kumarasan sebelum ini berkata kanak-kanak berkenaan Albertine Leo Jia Hui dilaporkan hilang pada Sabtu.

Beliau berkata kanak-kanak perempuan itu kali terakhir dilihat di Eko Galleria 3, Jalan Eko Botani 3/2, Taman Botani, Iskandar Puteri.

Albertine dipercayai memakai baju T-shirt karakter kartun Mickey Mouse dan seluar pendek sebelum dilaporkan hilang.

“Kanak-kanak ituberketinggian kira-kira 120cm, berambut hitam panjang, berkulit cerah dan berbadan kurus,” katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan kanak-kanak perempuan tersebut boleh menghubungi balai polis yang terdekat atau Inspektor Ridzuan Abd Hadi di 017-705 1097.

Mereka juga boleh menghubungi hotline polis Iskandar Puteri di 019-279 2095 atau Bilik Operasi Polis di 07-2212 999.

Sebelum ini gambar kanak-kanak perempuan itu yang dikatakan berada di Festival Bon Odori tersebar luas di media sosial. – 22 Julai 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen