Penjawat awam Johor terima bantuan khas kewangan 2 bulan gaji


KERAJAAN Negeri Johor mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan 2023 kepada penjawat awam negeri berjumlah dua bulan gaji.

Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi ketika mengumumkan perkara itu semasa membentangkan Belanjawan Johor 2024 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini, berkata pemberian bantuan berkenaan turut melibatkan penjawat awam kerajaan persekutuan yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri.

“Belanjawan Johor 2024 ialah belanjawan lebihan bermaksud prestasi kutipan hasil kerajaan negeri telah mencapai sasaran. Justeru, selain membantu rakyat, kita juga mahu memberi penghargaan kepada penjawat awam.

“Sebagai mengiktiraf jasa mereka berdasarkan pencapaian, sehubungan itu dengan sukacita saya umumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan 2023 sebanyak dua bulan gaji,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Onn Hafiz berharap pemberian bantuan khas kewangan itu akan menjadi pembakar semangat dan pemangkin motivasi kepada semua penjawat awam di negeri ini.

“Harapan saya adalah agar semua penjawat awam di negeri ini terus bekerja keras dalam memberi perkhidmatan tidak berbelah bahagi dengan cemerlang dan terbaik untuk rakyat Johor,” kata beliau.

Terdahulu, menteri besar turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan persekutuan atas peruntukan sebanyak RM4.7 bilion bagi perbelanjaan pembangunan Rolling Plan 4 (2024) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi Johor, merangkumi 368 projek sambungan dan 142 projek baharu. 

Antaranya termasuklah pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2) Johor Bahru, projek pelebaran Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) daripada empat kepada enam lorong yang dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam serta pembinaan Kompleks Hospital Pengajar USIM di Kota Tinggi.

Belanjawan Johor 2024 yang dibentangkan Onn Hafiz merupakan belanjawan lebihan sebanyak RM4.21 juta yang merupakan belanjawan lebihan kedua berturut-turut. – Bernama, 23 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen