KERAJAAN negeri mengumumkan pemberian rebat 30% ke atas cukai harta melibatkan lima pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat kenaikan cukai pada tahun depan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini diberitahu.
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata pemberian rebat tersebut diharapkan dapat meringankan beban pembayar cukai di lima kawasan PBT terlibat.
“Sebagai sebuah kerajaan yang sentiasa mendengar keluhan rakyat yang sedang berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi, sukacita saya maklumkan kerajaan negeri bersetuju pada tahun 2024, lima PBT tersebut akan memberikan rebat atau potongan sebanyak 30% daripada nilai penyelarasan cukai baru.
“Semoga rebat dan diskaun ini dapat meringankan beban pembayar-pembayar cukai tersebut,” kata beliau ketika sesi penggulungan persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, di Iskandar Puteri hari ini.
Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan 807,441 pegangan di lima PBT tersebut, sejumlah 326,720 pegangan atau 40.46% tidak terlibat dengan kenaikan cukai baru berkenaan.
Onn Hafiz berkata dengan pertambahan hasil ke atas PBT tersebut, maka perkhidmatan terhadap rakyat juga perlu dipertingkatkan demi keselesaan dan kemaslahatan rakyat di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Mohd Jafni Md Shukor berkata daripada jumlah keseluruhan pegangan terlibat, hanya sekitar 19,000 pegangan atau 2.4% yang membuat bantahan berhubung penyelarasan cukai baru.
Bercakap kepada pemberita selepas tamat sesi penggulungan DUN Johor hari ini, beliau berkata pemberian rebat akan menyaksikan kutipan hasil cukai berkurangan sebanyak RM66 juta berbanding anggaran jumlah kutipan berjumlah RM162 juta.
“Buat waktu ini, pemberian rebat itu adalah bagi tahun 2024, walau bagaimanapun kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan untuk dilaksana tahun seterusnya,” kata Mohd Jafni.
Lima PBT yang terlibat dalam penyelarasan cukai baharu ialah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Perbandaran Kluang (MPK) serta Majlis Perbandaran Pengerang (MPP).
Sesi persidangan DUN Johor ditangguhkan pada sesi akan datang. – Bernama, 3 Disember, 2023.
Komen