KUALITI air di 14 batang sungai di Johor dikategorikan sebagai paling tercemar, antaranya Sungai Kempas, Sungai Buluh, Sungai Tampoi dan Sungai Pandan, kata Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata susulan itu Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan diarahkan untuk segera mewujudkan pasukan petugas bagi menangani isu berkenaan.
“Saya mengarahkan jabatan dan agensi berkaitan untuk mengadakan satu pasukan petugas, serta mewujudkan rangka kerja dalam menangani isu sungai tercemar di Johor pada kadar yang segera.
Saya yakin dengan kerjasama yang erat daripada pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, sungai-sungai di Johor pasti dapat dibersihkan, sekali gus merealisasikan agenda Johor Bersih menjelang 2030,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, semalam.
Beliau turut meluahkan kekecewaan selepas meninjau beberapa buah sungai pada hari ini kerana ia dipenuhi dengan longgokan sampah sarap, sisa buangan dan bau busuk daripada pencemaran bahan kimia.
Onn Hafiz pada masa sama menyeru rakyat Johor untuk sama-sama menjalankan tanggungjawab sosial serta bekerjasama erat dengan kerajaan negeri dalam menjaga kebersihan dan kesihatan sejagat. – Bernama, 29 Oktober, 2023.
Komen