SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan kenyataan daripada sembilan individu untuk membantu siasatan terhadap HRD Corp berikutan ketidakteraturan yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), lapor Berita Harian.
Menerusi portal itu sumber berkata proses merekod kenyataan sembilan individu tersebut dijalankan secara berperingkat bermula hari ini.
Namun identiti individu yang dipanggil tidak didedahkan tetapi difahamkan sebahagian daripada mereka adalah kakitangan HRD Corp.
Bercakap kepada BH, sumber itu juga berkata setakat ini tiada tangkapan yang dibuat berkaitan dengan kes ini.
“Buat masa ini, SPRM sedang mengkaji dokumen-dokumen yg diambil dari kedua-dua lokasi yang dilawati (HRD Corp dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
“SPRM mulai merakam keterangan sembilan saksi itu hari ini,” katanya.
Sementara itu satu pasukan penyiasat SPRM dilihat sekali lagi mengunjungi ibu pejabat HRD Corp di Jalan Beringin, berhampiran Bukit Damansara, Kuala Lumpur petang ini.
Enam individu tersebut tiba di bangunan HRD Corp kira-kira jam 2.30 petang sebelum beredar pada jam 4.30 petang.
BH yang berada di lokasi dimaklumkan lawatan mereka ke pejabat HRD Corp hari ini hanya untuk bertemu dengan beberapa pegawai di sana bagi mendapatkan penjelasan lanjut berikutan penyitaan dokumen dari pejabat tersebut semalam.
Seorang pegawai yang dihubungi enggan mengulas lanjut tetapi memaklumkan tiada dokumen diambil hari ini.
Semalam pegawai penyiasat SPRM mengambil dokumen dari pejabat HRD Corp dan Kesuma di Putrajaya.
Mereka membawa keluar tiga kotak dokumen dari pejabat HRD Corp manakala di Kesuma Putrajaya, pegawai penyiasat membawa beberapa beg berisi dokumen yang diperlukan untuk siasatan.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata penyiasat berada di dua lokasi tersebut untuk mendapatkan dokumen bagi siasatan.
“Fokus siasatan adalah terhadap isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan di bawah Akta SPRM 2009,” katanya.
Sabtu lalu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya dilaporkan berkata pihaknya mengenal pasti beberapa individu untuk membantu siasatan mengenai isu HRD Corp seperti yang didedahkan dalam LKAN 2/2024.
Beliau berkata pasukan penyiasat juga akan pergi ke Kesuma dan HRD Corp untuk mendapatkan dokumen berkaitan. – 10 Julai, 2024.
Komen