SERAMAI 12 orang individu termasuk dua pegawai agensi penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini dalam Op Jaguar, kerana disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata agensi itu, kini sedang menyiapkan kertas siasatan berhubung kes cubaan melupuskan 1.8 tan sisik tenggiling bernilai lebih RM23 juta itu, dalam tempoh dua minggu.
“Saya jangka sudah habis dah (tak ada tangkapan lagi). Yang penting siapkan siasatan kita dalam tempoh dua minggu, kerana ada permintaan daripada komuniti antarabangsa yang mahu tahu hasil siasatan.
“Kes yang kita siasat ini satu bentuk rasuah dan salah guna kuasa dalam pelupusan binatang yang dilindungi oleh hidupan liar (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara),” katanya pada sidang media selepas Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di Kuala Terengganu, hari ini.
Azam berkata pembongkaran kes tersebut merupakan hasil maklumat yang diterima pihaknya daripada badan bukan kerajaan (NGO) luar negara dan satu pihak autoriti dari Amerika Syarikat.
“Kerjasama dengan pihak luar amat baik sekarang ini, kerana dengan ini kita dapat selamatkan hidupan liar daripada terpupus. Ini merupakan sindiket besar melibatkan sindiket antarabangsa,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan SPRM berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa, yang dipercayai turut menyogok penguat kuasa serta terbabit aktiviti pengubahan wang haram, dalam serbuan di Klang, Selangor dan ibu kota pada 14 Julai lepas.
Menerusi serbuan di Klang, suruhanjaya itu merampas 1.8 tan sisik haiwan itu yang bernilai kira-kira RM23.4 juta, manakala di Kuala Lumpur pula rampasan membabitkan beberapa kenderaan mewah yang mempunyai kaitan dengan sindiket tersebut. – Bernama, 20 Julai, 2023.
Komen