SEORANG Penolong Pegawai Tadbir Kanan sebuah jabatan kerajaan negeri direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa membabitkan nilai anggaran RM130,000, sejak dua tahun lepas.
Perintah reman terhadap lelaki berkenaan dikeluarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu, selepas mendapat permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.
Menurut sumber, lelaki berusia 59 tahun itu disyaki memberi kira-kira 70 perolehan pembaikan kenderaan kepada syarikat milik isterinya sejak 2021 hingga 2022.
Suspek juga disyaki mengesyorkan kerja-kerja pembaikan kenderaan jabatan berkenaan kepada bengkel yang dimiliki oleh sebuah koperasi, iaitu suspek merupakan Ahli Lembaga Koperasi dan merangkap Setiausaha Jawatankuasa Perdagangan koperasi tersebut.
Terdahulu Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid mengesahkan suspek ditahan di pejabat SPRM Negeri Terengganu semasa hadir memberi keterangan pada 11 pagi semalam. – Bernama, 22 Ogos, 2023.
Komen