Selangor perlu dedah butiran pelantikan Asia Mobiliti, kata C4


Pelantikan Asia Mobiliti sebagai penyedia perkhidmatan untuk sistem DRT Selangor Mobility mendapat perhatian selepas syarikat itu dikaitkan dengan suami kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh. – Tangkapan skrin, 29 Mei 2024.

KERAJAAN Selangor mesti mendedahkan butiran mengenai pelantikan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti) yang diberikan tanggungjawab menjalankan projek berkaitan pengangkutan di negeri itu, kata Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center).

Mereka berkata kerajaan negeri juga mesti memberikan komitmennya untuk menjadikan maklumat berkaitan perolehan boleh diakses secara umum.

Pada masa sama C4 berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menjalankan siasatan menyeluruh mengenai isu itu sekiranya ada kemungkinan berlaku penyalahgunaan kuasa atau pengaruh yang tidak wajar.

Mereka turut menggesa kerajaan persekutuan untuk segera menggubal reformasi perolehan bagi mengatasi bahaya konflik kepentingan dan kekurangan ketelusan.

Pelantikan Asia Mobiliti sebagai penyedia perkhidmatan untuk sistem Transit Responsif Permintaan Mobiliti Selangor (DRT) mendapat perhatian umum selepas syarikat itu dikaitkan dengan suami kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobiliti Ramachandran Muniandy merupakan suami Yeoh.

Pengerusi SPRM Azam Baki bagaimanapun berkata tiada isu dengan pelantikan itu kerana kementerian Yeoh tidak mempunyai kaitan langsung dengan kerajaan negeri Selangor.

Semalam Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat isu itu dan menambah siasatan mesti telus.

“C4 Center amat prihatin dengan potensi konflik kepentingan dalam pelantikan dan kekurangan ketelusan berhubung proses pelantikan,” katanya dalam satu kenyataan.

“Tidak kira sama ada Kementerian Belia dan Sukan terlibat, hakikatnya Yeoh memegang jawatan sebagai tokoh terkemuka dalam DAP – dan seterusnya Pakatan Harapan.

“Fakta mudah bahawa gabungan yang sama membentuk kerajaan negeri Selangor sudah cukup untuk menimbulkan syak wasangka mengenai kewajaran pelantikan itu,” tambah C4 Centre.

Mereka berkata walaupun saluran birokrasi formal mungkin tidak dikaitkan secara langsung dalam perkara ini, hubungan politik lain memang wujud.

C4 berkata hubungan ini cukup untuk menimbulkan persoalan serius mengenai konflik kepentingan yang masih tidak ditangani walaupun terdapat implikasi yang serius terhadap tadbir urus yang baik.

Ia menambah Selangor setakat ini gagal memberikan sebarang butiran senarai kriteria yang berkaitan dengan kelulusan projek itu. – 29 Mei, 2024.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen