Siasatan kontrak Selangor dengan Asia Mobiliti perlu telus, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata siasatan membabitkan kontrak kerajaan negeri Selangor dengan syarikat yang dikaitkan dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh perlu telus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2024.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata siasatan membabitkan kontrak kerajaan negeri Selangor dengan syarikat yang dikaitkan dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh perlu telus.

Menurut laporan The Star, Anwar berkata beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat isu itu.

“Kalau ada laporan, maka perlu ada siasatan, ia perlu dibuat sama seperti kes lain. Saya tidak ada masalah dengan siasatan itu.

“Biar pihak berkuasa siasat, jika ada laporan dibuat, mereka perlu telus dalam siasatan,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, syarikat Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti) mempertahankan pembabitannya dalam Demand Responsive Transit (DRT) Selangor, berkata hanya dua syarikat di negara ini yang layak menyediakan perkhidmatan itu.

Dalam satu kenyataan ia berkata pelantikan dilakukan secara terbuka hampir setahun lalu.

Lembaga pengarah syarikat itu juga mendakwa ia tertakluk kepada kempen dalam talian baru-baru ini oleh pihak tidak dikenali tertentu yang menimbulkan keraguan mengenai proses pelantikan syarikat itu.

Ada pihak mempertikaikan kemungkinan berlaku layanan istimewa dalam proses tender susulan pendedahan bahawa CEO Asia Mobiliti Ramachandran Muniandy adala suami Yeoh.

Asia Mobility adalah salah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk perkhidmatan DRT bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam peringkat pertama dan terakhir di dalam negeri.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebagai berkata Asia Mobility tidak menerima projek berkenaan daripada kementerian Yeoh, tetapi kerajaan negeri Selangor.

“Setakat ini tiada sebarang kesalahan mengikut undang-undang dalam pemberian kontrak kepada syarikat itu,” katanya. – 28 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen