Syarikat DRT Selangor nafi layanan istimewa, kontrak runding terus


Pengasas bersama Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, Premesh Chandran menangkis tuduhan dibangkitkan pembangkang itu dan menjelaskan tiada sebarang kecurangan berlaku. – Gambar Facebook, 26 Mei, 2024.

SYARIKAT teknologi pengangkutan Demand Responsive Transit (DRT) Selangor menafikan menikmati layanan istimewa dan juga tuduhan penganugerahan kontrak rundingan terus projek tersebut.

Pengasas bersama Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, Premesh Chandran menangkis tuduhan dibangkitkan pembangkang itu dan menjelaskan tiada sebarang kecurangan berlaku.

“Percayalah, segala-galanya di landasan betul, kami tidak akan terlibat dalam perkara yang tidak beretika atau curang,” kata bekas pengasas Malaysiakini itu seperti dipetik portal tersebut.

Beliau menangkis tuduhan konflik kepentingan mengaitkan ketua pegawai eksekutifnya Ramachandran Muniandy yang merupakan suami kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Premesh mempertahankan kewibawaan Ramachandran dan syarikat itu sebagai firma yang berjaya memenangi anugerah dan menerima beberapa pembiayaan dana sejak dibentuk pada 2018.

“Sebagai ketua pegawai eksekutif dengan latar belakang kukuh dalam perniagaan dan pembangunan perisian, Ramachandran telah melakukan tugas yang hebat dalam membina pasukan yang cemerlang, memenangi anugerah dan mendapat beberapa pusingan pembiayaan.

“Kami amat berbangga kerana memiliki penyelesaian perisian dan perkakasan kelas terbaik, dibina di Malaysia oleh rakyat Malaysia,” suguhnya.

Penganugerahan kontrak itu dipersoal PAS Selangor yang mengesyaki wujud konflik kepentingan dalam pelantikan syarikat yang dikaitkan dengan menteri dari DAP itu.

Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar turut membangkitkan mengenai penganugerahan kontrak tersebut yang menurutnya tidak dibuat melalui tender terbuka.

Menurutnya, penjelasan Exco Pengangkutan Selangor Ng Sze Han mengenai kontrak tersebut menunjukkan ianya runding terus yang bertentangan dengan ikrar kerajaan perpaduan.

Ng dalam kenyataan terdahulu menjelaskan Asia Mobility merupakan salah satu satu daripada dua syarikat yang terpilih untuk sistem DRT dan diluluskan Agensi Pengangkutan Awam Darat.

Satu lagi syarikat yang terpilih dalam program menyediakan perkhidmatan pengangkutan perbatuan pertama dan terakhir di Selangor itu merupakan Badan Bas Coach Sdn Bhd.

Menurut Ng, dua syarikat itu dipilih Jawatankuasa Pelaksanaan Projek Rintis DRT selepas berjaya membuktikan konsep berkenaan.

Amalan itu dipersoal Sukri yang berkata ia bertentangan dengan ikrar Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang hanya akan memertimbang tender runding terus bagi projek berkaitan keselamatan. – 26 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen