Dasar kemasukan Bumiputera UiTM kekal, kata naib canselor


Naib Canselor Universiti Teknologi Mara Shahrin Sahib berkata institusi itu akan berpegang pada misi dan visinya untuk memperkasa Bumiputera.– Gambar www.uitm.edu.my, 16 Mei, 2024.

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) akan berpegang pada misi dan visinya untuk memperkasa Bumiputera dan tidak akan mengubah dasar kemasukan pelajarnya kepada kemasukan pelajar bukan Bumiputera, kata Naib Canselor Shahrin Sahib hari ini.

Beliau berkata belum ada perbincangan di peringkat senat atau exco mengenai perubahan dasar kemasukan pelajar, sambil menambah ia selaras dengan kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abd Kadir mengenai komitmen kerajaan terhadap objektif asal UiTM.

Zambry berkata spekulasi membuka UiTM kepada pelajar bukan Bumiputera telah dijadikan polemik pihak tertentu sehingga menimbulkan kekeliruan dan konflik yang tidak perlu.

Beliau mengulas gesaan majlis perwakilan pelajar UiTM yang menggesa pelajar berpakaian hitam bagi membantah cadangan membuka sementara program pembedahan kardiotoraks pasca siswazah UiTM kepada pelajar bukan Bumiputera.

Badan pelajar itu berkata kesemua 214 ahlinya mempertahankan objektif penubuhan UiTM sebagai institusi untuk orang Melayu, Orang Asli, dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Shahrin dalam pada itu berkata UiTM akan terus mematuhi Seksyen 1A Akta UiTM 1976, yang menetapkan UiTM ditubuhkan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Kami akan terus melaksanakan misi dan visi institusi memperkasakan Bumiputera ini,” kata Shahrin dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menggesa para pelajar untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran mereka dan “menggunakan masa mereka di universiti dengan bijak”.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa UiTM supaya mengutamakan keperluan kesihatan awam dengan membuka sementara program pembedahan kardiotoraks pasca siswazah kepada pelajar bukan Bumiputera memandangkan negara berdepan kekurangan pakar khususnya pakar bedah kardiotoraks. – 16 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen