Zon Bebas Kenderaan mimpi ngeri peniaga di Melaka


Langkah melaksanakan Program Zon Bebas Kenderaan (ZBK) di Melaka menjadi mimpi ngeri bagi peniaga dan orang ramai di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2024.

LANGKAH Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh untuk menarik pelancong ke negeri itu dengan melaksanakan Program Zon Bebas Kenderaan (ZBK) menjadi mimpi ngeri bagi peniaga dan orang ramai.

Program itu yang bermula secara percubaan pada Ogos tahun lalu di kawasan paling sibuk di negeri berkenaan iaitu di Banda Hilir. Bagaimanapun langkah sementara itu kini kekal dilaksanakan dan menyusahkan rakyat.

Pada Disember tahun lalu Jalan Bendahara ke Jalan Bukit Cina yang dikatakan jalan paling sibuk di bandar raya itu dan meliputi 2.4km ditutup oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) selama 72 jam secara percubaan.

Peniaga berkata penutupan jalan selama enam jam awal pada Ogos tahun lepas tidak menjejaskan mata pencarian mereka seperti hari ini.

Rauf bagaimanapun berkata program ZBK itu kini kekal di Melaka dari Jumaat hingga Ahad.

Penutupan jalan selama 54 jam bermula jam 6 petang Jumaat hingga tengah malam Ahad mengejutkan peniaga di kawasan terbabit. Mereka berkata langkah ZBK menjejaskan pendapatan mereka.

Pada Februari seorang penunggang beca cuba membunuh diri berhampiran bangunan ikonik Stadthuys Melaka.

Polis bagaimanapun berkata warga emas itu cuba membunuh diri kerana tekanan daripada pemberi pinjaman.

“Penunggang beca membuat aduan kepada saya apabila mereka tidak dapat mencari rezeki dan tidak bersetuju dengan langkah Zon Bebas Kenderaan. Peniaga di medan selera dan pusat kraf Samudera Melaka serta Kawasan berhampiran didesak untuk tidak membuat aduan berkenaan kerugian yang mereka alami disebabkan pelaksanaan zon baharu itu.

“Malah polis di IPD Melaka tidak berpuas hati dengan perubahan trafik dan berkata ia menghalang laluan kecemasan. Mereka juga diminta untuk menutup mulut,” keluh seorang peniaga kraftangan.

Penutupan jalan selama 54 jam bermula jam 6 petang Jumaat hingga tengah malam Ahad mengejutkan peniaga di kawasan terbabit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2024.

Seorang lagi peniaga Ikhwan Khamis memberitahu The Malaysian Insight kekurangan kemudahan tempat letak kereta di kawasan itu tidak menarik pelancong terutama warga emas dan anak-anak untuk singgah ke gerai kraf tangannya.

Ikhwan berkata MBMB tidak berusaha untuk memperkenalkan sebarang inisiatif membantu peniaga dan meringankan masalah yang dibawa susulan pelaksanaan ZBK.

“Peniaga dan penunggang beca diberi amaran oleh pihak berkuasa untuk tidak mengambil bahagian dalam protes atau demonstrasi yang mengecam program ZBK,” kata Ikhwan.

Pemilik kedai serbaneka yang tidak mahu namanya disiarkan berkata dia buntu bagaimanapun untuk meneruskan perniagaan apabila pendapatannya merosot sehingga di bawah 50%.

“Adakah Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak sedar atau tidak peduli dengan penderitaan kita?”

“Peniaga hari ini berada di bawah belas kasihan kerajaan negeri. Adakah ini yang dimaksudkan oleh Anwar apabila beliau sentiasa berkata beliau mengutamakan kesejahteraan rakyat?

“Sekarang kita dengar negeri ini bercadang untuk menyekat kawasan berhampiran gereja St Francis Xavier dan Medan Samudera dengan memasang kaunter untuk mengenakan bayaran kepada pengunjung.

“Saya bertanyakan perkara ini kepada Ahli Parlimen Kota Malaccía Khoo Poay Tiong. Saya memberitahunya tiada sesiapa pun daripada jawatankuasa trafik MBMB atau exco negeri yang memaklumkan kepada peniaga yang terjejas.

“Khoo memberitahu saya Datuk Bandar Melaka Shadan Othman diminta memaklumkan secara langsung kepada komuniti perniagaan berkenaan,” kataya.

Ahli Parlimen Kota Melaka itu bulan lalu mengadakan perbincangan dengan Shadan dan Adun DAP negeri mengenai isu itu. Khoo meminta MBMB berunding dengan peniaga yang terjejas sebelum memuktamadkan sebarang langkah.

“Saya ragu-ragu dengan dakwaan datuk bandar bahawa matlamat ZBK adalah untuk melindungi bangunan bersejarah di sekitar kawasan Stadthuys daripada terus rosak. Menutup jalan tidak akan menghalang bangunan daripada runtuh. Kerja-kerja struktur dan baik pulih diperlukan untuk memastikan premis bersejarah ini selamat,” kata Khoo.

Khoo hairan mengapa perunding yang diupah oleh MBMB gagal bergantung pada teknologi kecerdasan buatan dan data pergerakan trafik sedia ada untuk mengukur kesan perubahan kepada aliran trafik.

“Jelas sekali, perunding itu gagal dalam tugasnya,” katanya.

Sementara peniaga dan penduduk tempatan berharap mimpi ngeri hujung minggu yang disebabkan oleh ZBK berakhir tidak lama lagi.

Kerajaan negeri baru-baru ini mengumumkan sebuah monumen gergasi dan taman peringatan akan dibina di Bukit Cina untuk memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Melaka dan China.

Bukit Cina sinonim dengan kehadiran awal orang Cina ke Melaka dan dilaporkan mempunyai lebih 12,000 kubur purba yang terbesar di luar China.

Pada tahun 1984 rancangan untuk membangunkan Bukit Cina secara komersial ditolak mentah-mentah dengan beratus-ratus orang keluar melakukan protes. – 15 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen