Kekurangan bekalan telur tidak kritikal, kata peniaga


Angie Tan

Masalah kekurangan bekalan telur di pasaran tidak kritikal dan ia berlaku di negeri di mana pengeluaran telur dikurangkan. – Gambar fail The Malaysia Insight, 7 November, 2023.

MEMANG ada masalah kekurangan bekalan telur di pasaran tetapi keadaannya belum mencapai paras kritikal, kata Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia (FSGMAM).

Presiden FSGMAM Hong Chee Meng berkata masalah bekalan telur berbeza di setiap negeri kerana ia perlu dilihat kepada kemungkinan ladang telur mengurangkan pengeluaran sebagai langkah mengurangkan kos.

“Jika mereka mengurangkan pengeluaran, maka negeri itu akan berdepan dengan masalah kekurangan bekalan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata subsidi telur akan dikekalkan kerana bekalan masih belum stabil, dengan timbalan menterinya, Chan Foong Hin berkata kawalan harga telur akan diteruskan.

“Kos pengeluaran telur masih tinggi.

“Jika harga diapungkan, sebiji telur dijangka meningkat kosnya sekurang-kurangnya 10 sen, di mana ia sama dengan kenaikan RM3 bagi 30 biji telur,” kata Chan.

Beliau berkata bagi mengurangkan beban rakyat, kerajaan memutuskan untuk kawalan harga jualan telur diteruskan menerusi pemberian subsidi.

“Sebaik saja keadaan lebih baik dan stabil, kerajaan akan mengkaji semula keputusan itu.”

Hong berkata keputusan kerajaan untuk meneruskan subsidi telur ada kebaikan dan keburukannya.

“Baiknya adalah rakyat boleh beli telur pada harga stabil, tetapi buruknya adalah pembekal telur tidak akan memperoleh keuntungan,” katanya.

Beliau berkata jika keadaan ini berterusan dan harga makanan ayam naik, maka pengeluar telur akan kerugian dan bakal menjejaskan pengeluaran.

“Saya harap kerajaan boleh melihat keadaan ini. Apa yang paling penting adalah mengelak kekurangan bekalan kerana telur adalah sumber makanan utama rakyat.”

Pengerusi Persatuan Peniaga Bekalan Barangan Runcit Klang Tan Teck Hock berkata ramai peniaga menyimpan stok apabila mendengar telur akan kehabisan stok, yang akan menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran.

“Sekarang, masih sedikit peniaga yang simpan stok, jadi telur masih ada. Kekurangan bekalan tidak serius.

“Tetapi keseluruhan bekalan telur masih tidak mencukupi, kerana di sesetengah kawasan luar bandar, jika telur habis dan perlu ditambah, mereka terpaksa tunggu hingga seminggu untuk penghantaran.

“Keadaan ini akan menyebabkan kekurangan bekalan telur buat sementara.”

Tan berkata pada masa ini beliau bimbang kekurangan bekalan telur akan berlaku pada musim perayaan.

“Dengan sambutan Deepavali minggu depan dan diikuti Tahun Baru Cina beberapa bulan lagi, kami risau akan berlaku kekurangan bekalan telur.”

Katanya, beliau berharap kerajaan akan mengapungkan harga telur tidak lama lagi, kerana jika kawalan harga diteruskan, pengeluar telur akan kerugian.

“Keuntungan daripada telur pada masa ini kadang-kala menyebabkan kerugian, kerana bagi 30 biji telur, peniaga hanya untung 30 sen.

“Telur juga sangat mudah pecah, menambah kerugian peniaga,” kata Tan. – 7 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen