Peniaga mengaku tidak bersalah guna sijil, transkrip peperiksaan palsu


SEORANG peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu iaitu Sijil Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik (Kepujian) dan transkrip peperiksaan Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur, dua tahun lepas.

Joey Ho Wei Cheng, 38, didakwa melakukan kesalahan itu di Lembaga Jurutera Malaysia, Jalan Sultan Salahuddin di Kuala Lumpur pada 23 Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta sama yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya R Harvind mencadangkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

Peguam Mohamed Musthafa mewakili Ho memohon jaminan rendah kerana anak guamnya yang bekerja sendiri dan berpendapatan RM5,000 sebulan perlu menanggung isteri yang sedang mengandung, dua anak berusia tujuh dan tiga tahun serta ibu bapanya yang uzur.

Majistret Nurul Izzah Shaharuddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan. – Bernama, 11 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen