Sukar teruskan Menu Rahmah, kata peniaga makanan


Noel Achariam

Peniaga makanan mengeluh sukar untuk meneruskan inisiatif Menu Rahmah, yang dilancarkan lapan bulan lalu, dalam keadaan iklim ekonomi semasa dan tiada pilihan selain menarik diri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2023.

INISIATIF Putrajaya, Menu Rahmah semakin menghilang apabila restoran dan pengusaha gerai bergelut menangani kenaikan harga barangan mentah dan kekurangan bahan-bahan utama, kata pengusaha restoran dan gerai.

Mereka berkata sukar untuk meneruskan inisiatif makanan mampu milik, yang dilancarkan lapan bulan lalu, dalam keadaan iklim ekonomi semasa dan tiada pilihan selain menarik diri.

Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Kuala Lumpur Muhamad Baba Kutty berkata ahli mereka menarik diri daripada inisiatif itu kerana tidak mampu menampungnya lagi.

“Kerajaan perlu menangani isu ini dengan mendapatkan lebih banyak pembekal beras, minyak masak, gula dan barangan lain serta meneliti harga bahan mentah.

“Semua barangan ini semakin mahal. Kami juga sukar mendapatkan stok.

“Ia adalah satu inisiatif yang baik oleh kerajaan, tetapi bagaimana kita boleh bertahan dengan kenaikan harga?” Soalnya kepada The Malaysian Insight.

Menu Rahmah adalah inisiatif kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup terutama bagi mereka yang memerlukan makanan seimbang berkhasiat pada harga RM5 dan ke bawah.

Bekas menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup Salahuddin Ayub melancarkan inisiatif itu pada 31 Januari lalu dan sebanyak 15,000 premis makanan menyertai inisiatif ini.

Muhamad berkata di Kuala Lumpur terdapat kira-kira 65,000 penjaja semua kaum menjual pelbagai jenis makanan dan persatuan mereka mempunyai lebih 3,000 ahli.

“Ahli kami yang menyediakan Menu Rahmah sudah berhenti sama sekali.

“Mereka tidak mampu melakukannya lagi. Nampaknya ia semakin lenyap.”

Beliau juga berkata semua penjaja bergelut kerana tidak dapat menaikkan harga mereka.

“Perniagaan masih sama, pelanggan datang tetapi kos ditanggung mereka naik kerana harga barang tinggi.

“Margin keuntungan rendah. Dengan pendapatan yang diperolehi, masih perlu menanggung keluarga mereka.”

Beliau turut mempersoalkan program Harga Rahmah oleh kerajaan yang menjual barangan dengan harga murah. 

“Mereka mempunyai stok dan menjual barangan itu dengan harga lebih murah, tetapi apabila kami ke pasar raya tiada beras, gula atau minyak masak.

“Jadi, dari mana mereka (kerajaan) mendapat stok itu?”

Jualan Rahmah dimulakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada Januari dan mencatatkan kutipan jualan RM52 juta.

Timbalan Menteri Fuziah Salleh berkata ia melibatkan 118 kawasan Parlimen dengan penjualan barangan yang dijual sehingga 30% daripada harga pasaran.

Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Muslim Malaysia (Presma) Jawahar Ali Taib Khan berkata mereka akan meneruskan inisiatif Menu Rahmah buat masa ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) di 22 cawangan mereka di seluruh negara.

“Kami tidak membuat sebarang keuntungan tetapi melakukannya sebagai sebahagian daripada program CSR kerana kami mampu membelinya buat masa ini.

“Kami akan cuba yang terbaik, tetapi kami juga tidak tahu berapa lama boleh bertahan. Kami akan cuba bertahan sehingga akhir tahun.

“Tetapi jika harga barang terus naik, kami mungkin berhenti.”

Beliau berkata kerajaan perlu membuat dasar mengenai cara menangani isu ini kerana Menu Rahmah bukanlah penyelesaian jangka panjang.

“Bukan semua orang boleh melakukannya. Mungkin ketika mula-mula harga barang berpatutan tetapi sekarang tidak.”

Jawahar berkata jumlah ahli yang menyediakannya juga menurun.

“Mereka juga perlu memikirkan tentang sewa, gaji kakitangan, harga barang dan lain-lain.”

Beliau berkata persatuan itu mempunyai 12,000 cawangan di seluruh negara dengan 4,500 ahli.

“Kita tahu masih ada yang memerlukannya (Menu Rahmah). Jadi, kami berharap kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu stok yang ada dan harga barangan,” tambah Jawahar. – 29 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen