Peniaga baju raya lega sambutan menggalakkan di tengah ekonomi suram


Diyana Ibrahim

Peniaga yakin jualan Aidilfitri tahun ini tidak terjejas biarpun ekonomi negara masih kurang memberangsangkan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2023.

PENIAGA yakin sambutan dan sokongan pembeli terhadap pakaian dan kelengkapan hari raya tidak akan terjejas biarpun keadaan ekonomi kurang memberangsangkan sementara orang ramai juga tidak menikmati kemudahan kewangan seperti tahun lepas.

Pada tahun lepas, Hari Raya Aidilfitri disambut ketika kerajaan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran khas daripada tabung caruman mereka.

Sementara itu, pada tahun ini, Putrajaya mengumumkan bantuan kewangan hari raya sebanyak RM700 kepada penjawat awam, yang dijadual akan dibayar pada 17 April ini.

Peniaga yang ditemui oleh The Malaysian Insight yakin, tanpa kemudahan kewangan yang meluas, pembeli umumnya akan tetap berbelanja sama malah mereka menjangkakan jualan akan meningkat berbanding tahun lepas.

Pemilik jenama pakaian ByNiks, Nik Zamri Abu Bakar berkata pihaknya setakat ini mendapat sambutan begitu menggalakkan biarpun tidak sampai seminggu umat Islam berpuasa.

Yakin dengan trend itu, Nik Zamri telah menambah stok jualan bajunya berbanding tahun lepas.

“Kalau ikut dari segi graf jualan kita meningkat berbanding tahun lepas. Ini baru suku pertama (puasa) tapi orang dah mula membeli baju raya.

“Berbanding tahun lepas orang hanya membeli pada saat akhir kerana bimbang perintah kawalan pergerakan akan dikuatkuasakan semula. Tapi tahun ini awal- awal lagi mereka sudah membuat persediaan,” katanya.

Jelas Nik Zamri, biasanya mereka mula menjual baju raya sebulan sebelum bulan puasa.

“Kita biasanya akan keluarkan koleksi baju raya sebulan lebih awal menerusi dalam talian dan jualan di butik.

“Sebab itu kita boleh jangka trend membeli tahun ini bagus sebab awal-awal lagi dah nampak sambutan itu,” katanya.

Kos pembuatan baju raya meningkat disebabkan kos kain yang kini naik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2023.

Dalam pada itu, Nik Zamri berkata kos pembuatan pakaian hari raya meningkat 5% akibat kenaikan harga bahan mentah tetapi pihaknya menampung kenaikan itu.

“Kita tak dapat naikkan harga jualan kerana bimbang orang tak nak beli jika terlalu mahal.

“Jadi kita kekalkan saja harga. Kita serap kos dengan jumlah kuantiti yang banyak jadi kenaikan kos itu masih lagi kita boleh terima,” katanya.

Nik Zamri percaya pengguna yang berbelanja awal ini sudah menyimpan wang untuk persiapan hari raya.

“Tahun lepas orang membeli sakan sebab dua tahun mereka tidak menyambut hari raya,” katanya, merujuk pelaksanaan PKP sejak Mac 2020.

“Tahun lepas pun banyak bantuan yang rakyat dapat termasuk pengeluaran KWSP.

“Tahun ini saya tengok tidak terjejas (perbelanjaan pengguna). Pembeli masih mampu untuk membeli biarpun dengan ekonomi yang mencabar,” katanya.

Sementara itu peniaga pakaian tradisional Melayu, Johari Salleh juga mengakui perniagaannya setakat ini lancar dan banyak terjual sejak seminggu sebelum puasa yang bermula pada Khamis.

Beliau juga mengakui kos pembuatan baju Melayu misalnya meningkat tetapi mereka terpaksa mengekalkan harga jualan untuk menjaga pelanggan.

“Memang kos naiklah. Yang saya nampak setiap tahun kes makin naik terutama macam saya yang bawa masuk kain dari India.

“Tapi ini bukan kos bahan saja naik… benang pun sekarang naik harga. Cuma itulah kita peniaga terpaksa kekalkan sahajalah harga,” katanya yang sudah 18 tahun menjual baju Melayu di Shah Alam.

Menurut peniaga, ramai rakyat membuat persiapan awal kerana tiada kebimbangan PKP akan dikuatkuasakan lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2023.

Johari juga lega kerana jualannya setakat ini mendapat sambutan yang baik malah percaya akan lebih baik daripada tahun lepas.

“Biarpun orang kata rakyat terbeban dengan kos sara hidup, barang semua naik tapi setidak-tidaknya mereka akan berbelanja untuk anak- anak.

“Kalau keluarga trend mereka suka yang sedondon, jadi antara sebab orang akan terus membeli baju raya,” katanya.

Seorang lagi peniaga baju kurung tradisional, Sarimah Abdullah, 49, berkata dia banyak mengeluarkan koleksi baju raya lebih murah dan berpatutan supaya pengguna tetap dapat membeli tahun ini.

“Kalau sambutan hari raya ini, ekonomi teruk macam mana pun, permintaan dan pasaran baju kurung tetap ada.

“Paling kurang pun pembeli akan berjimat hanya beli sepasang sahaja” katanya yang juga meniaga dalam talian dan di bazar di Shah Alam. – 26 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen