Perniagaan tetap bagus, walau buat Menu Rahmah, kata peniaga


Inisiatif Menu Rahmah mendapat sambutan baik daripada masyarakat tetapi peniaga tidak pasti selama mana mereka akan dapat bertahan susulan harga barangan yang semakin naik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 Mac, 2023.

PENJAJA makanan masih menjalankan perniagaan dengan baik walaupun lebih banyak restoran memperkenalkan Menu Rahmah RM5 Putrajaya di seluruh negara, kata peniaga.

Menurut mereka pelanggan tetap masih memilih mereka namun memberi amaran kenaikan harga boleh menamatkan hidangan Menu Rahmah pada masa hadapan.

Naib Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Kuala Lumpur Muhamad Baba Kutty berkata, pengusaha mereka tidak terjejas dengan inisiatif Menu Rahmah.

“Perniagaan ahli kami tidak banyak merosot. Namun kami percaya kempen ini tidak akan bertahan lama kerana semua produk makanan dan barangan masih mahal.

“Tetapi restoran besar boleh melakukannya. Hasrat kerajaan memang baik, tetapi sama ada ia praktikal atau tidak, kita tidak tahu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Minggu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata sebanyak 1,531 perniagaan telah mendaftar untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif Menu Rahmah di seluruh negara.

Menu Rahmah merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup terutama mereka yang memerlukan makanan seimbang pada harga RM5 dan ke bawah.

Muhamad Baba berkata, hanya restoran besar yang mempunyai kapasiti untuk menyediakan Menu Rahmah.

Beliau berkata ini kerana gerai dan peniaga kecil tidak mampu untuk menghidangkan hidangan bajet dengan pendapatan yang mereka perolehi.

“Mereka (restoran) boleh membeli secara pukal, dapat harga lebih rendah dan mereka ada simpanan untuknya. Gerai-gerai itu bukan dalam kategori yang sama.

Pemilik gerai nasi campur D Lereng di Taman Tugu di ibu negara, Nik Rashidi.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 Mac, 2023.

“Pengusaha gerai perlu membayar pekerja, elektrik dan sewa, dan overhed adalah tinggi. Mereka juga tidak membuat wang yang besar seperti restoran.

“Gerai-gerai juga boleh menawarkan Menu Rahmah sekiranya kerajaan memberi subsidi kepada produk makanan tersebut,” katanya.

Persatuan itu mempunyai lebih 4,000 ahli, yang mana 90% daripadanya terlibat dalam perniagaan makanan.

Pengusaha gerai dalam pada itu berkata, restoran yang menawarkan Menu Rahmah tidak menjadi pesaing mereka, sebahagian besarnya disebabkan oleh lokasi dan kumpulan pelanggan mereka sendiri.

Pemilik gerai nasi campur D Lereng di Taman Tugu di ibu negara, Nik Rashidi berkata, perniagaannya tidak terjejas dengan hidangan Menu Rahmah yang ditawarkan restoran.

“Kami terletak di tempat yang strategik di mana kami dikelilingi oleh pejabat kerajaan.

“Jadi kebanyakan pelanggan kami adalah dari sekitar kawasan ini. Perniagaan seperti biasa di sini kerana kami boleh mendapatkan kira-kira 50 pelanggan untuk makan tengah hari sahaja,” katanya.

Katanya, nasi campur ikan atau ayam dengan sayur berharga kira-kira RM8 di gerainya.

“Pelanggan kami juga tidak akan pergi mencari Menu Rahmah kerana ia untuk mereka yang memerlukan.”– 17 Mac, 2023.

Berita penuh di sini. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen