Kos bahan mentah masih tinggi, kata peniaga kepada Rafizi


Noel Achariam Diyana Ibrahim Ravin Palanisamy Alfian Z.M. Tahir

PEMILIK restoran dan gerai menafikan tuduhan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bahawa mereka enggan menurunkan harga walaupun kos bahan mentah sudah turun.

Mereka berkata mungkin untuk barangan tertentu harganya turun sedikit tetapi harga bagi barangan lain tidak berubah atau harganya lebih tinggi.

Penjual nasi bajet Nurul Ain Azmi, 37, dari Kuala Terengganu berkata dia tidak nampak sebarang penurunan harga.

“Saya rasa tidak ada penurunan pun. Harga ayam mungkin turun sedikit tetapi bahan mentah lain naik banyak.

“Harga ayam dulu 8.90, sekarang RM8.10, turun sedikit tetapi harga lain naik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Nurul berkata dia pernah membelanjakan RM300 untuk membeli bahan seperti cili, bawang, minyak tidak termasuk ayam atau ikan, tetapi kini jumlah perbelanjaan mencecah sehingga RM400.

Minggu lalu, Rafizi mengecam sikap pengusaha restoran dan gerai makan tertentu yang masih enggan menurunkan harga walaupun kos bahan mentah jatuh.

Beliau berkata adalah penting bagi perniagaan ini menurunkan harga mereka bagi membantu meningkatkan kuasa perbelanjaan rakyat dan meringankan beban kewangan mereka.

“Kadang-kadang orang marah apabila melihat harga bahan mentah semakin menurun dan kadar elektrik dikekalkan, tetapi harga yang dikenakan oleh restoran dan kedai makanan lain tetap sama.

“Setakat ini, harga (bahan-bahan) menunjukkan penurunan tetapi bukan harga barangan makanan yang disediakan oleh restoran dan gerai termasuk makanan bawa pulang yang terus meningkat,” katanya.

Nurul juga berkata mereka berasa terbeban dengan kenaikan harga barang kerana terpaksa membayar gaji pekerja dan sewa gerai. 

“Kalau makanan habis, tak apalah, saya boleh dapat balik modal, tapi kalau tak ada jualan lagi susah.

“Jadi saya tak faham di manakah berlakunya penurunan harga. Saya pun tak boleh turunkan harga. Lagipun saya ada jual nasi bajet seperti nasi ayam goreng kunyit, nasi ikan keli berlada, dan daging goreng.

“Saya juga kena kurangkan bahagian ayam tetapi sayur masih sama. 

“Nasi bajet ini biasanya berharga RM4 jika ayam RM5, ikan keli RM5,” katanya.

Nurul berkata, dia mula berniaga sejak 2016 dan nasi bajet pada ketika itu berharga RM3. 

“Kemudian dua tahun lalu saya naikkan kepada RM3.50, kemudian apabila harga barang naik, saya jual RM4 – RM5. Lebih kurang dua tahun saya tidak naikkan harga. 

“Sebab itu saya harap harga barang akan turun. Kerana ia sangat membebankan,” katanya. 

Katanya pelanggan biasanya membeli menu nasi bajetnya kerana ingin menjimatkan wang memandangkan mereka tinggal bersendirian tidak mahu memasak kerana kos untuk membeli bahan-bahan agak tinggi. 

Roslinda Yusof, 47 dari Kuala Terengganu yang mengusahakan gerai sarapan pagi juga bersetuju tidak ada penurunan harga makanan seperti yang didakwa menteri. 

“Harga barang mentah naik, bukan turun. Dahulu perbelanjaan saya untuk gerai hanya RM200 sekarang RM400 untuk seminggu,” katanya. 

Malah katanya disebabkan kenaikan harga barang dia menjual gula-gula sebagai pendapatan sampingan pada sebelah petang. 

“Saya terpaksa menjual gula-gula kerana wang hasil jualan sarapan pagi tidak mencukupi. 

“Sekarang saya perlu bekerja lebih lagi untuk menambah pendapatan saya,” katanya. – 25 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen