Perikatan kekalkan Muhyiddin sebagai calon PM


Ketua Penerangan PN Mohamed Azmin Ali berkata gabungan itu tetap yakin Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin adalah pilihan terbaik untuk rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei 2024.

PERIKATAN Nasional (PN) akan mengekalkan Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penerangan PN Mohamed Azmin Ali berkata gabungan itu tetap yakin ahli Parlimen Pagoh adalah pilihan terbaik untuk rakyat.

“Sekarang kita masih mendengar laungan‘Abah’ sebab watak Tan Sri (Muhyiddin) sebagai ketua dalam satu keluarga, sebuah negara yang menjaga kepimpinan.

“Mereka menyaksikan kepimpinan beliau dan mendapat manfaat daripadanya. Saya yakin insya-ALLAH, kita teruskan kerja yang baik, jujur dan ikhlas kepada rakyat serta buat sedaya upaya untuk memberi kemenangan kepada PN kelak,”katanya dipetik Sinar Harian.

PKR dilaporkan mula bersiap sedia untuk pilihan raya umum dengan presidennya Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri untuk penggal kedua.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata parti itu melancarkan dua rangka kerja baharu untuk memastikan Anwar kekal sebagai perdana menteri selepas pilihan raya.

Rafizi berkata rangka kerja baharu itu dikenali sebagai Pemerkasaan Organisasi Parti 25 Tahun (POP25) dan Keadilan Menang Siri PRU16 (Kemas16)

Azmin yang juga pengerusi PN Selangor berkata walaupun ada ahli gabungan yang mempunyai keupayaan untuk menjadi perdana menteri, Muhyiddin terbukti paling sesuai untuk jawatan tertinggi.

“Beliau diuji dan teruji, malah berjaya. Oleh itu beliau harus teruskan.

“Sebab itu ketika beliau isytihar untuk melepaskan jawatan dalam pemilihan parti yang akan datang, akar umbi tidak benarkan kerana kita rasa kepimpinannya masih diperlukan.

“PN khususnya Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) juga sudah mula membincangkan rancangan penggantian melibatkan pelapis kepada kepimpinan parti. Berbeza dengan parti lain, ketua mereka tidak mahu melepaskan jawatan,” ujarnya. – 10 Mei 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen