Kecewa dengan kerajaan, pengundi India di KKB pertimbang pilih Perikatan


Ravin Palanisamy

Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu akan diadakan pada 11 Mei ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2024.

PENGUNDI India di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) sedia mempertimbangkan untuk mengundi bagi calon Perikatan Nasional(PN) pada pilihan raya kecil (PRK) 11 Mei akan datang.

Bercakap kepada The Malaysian Insight semasa lawatan baru-baru ini, pengundi berkata mereka bersedia untuk melakukan perubahan selagi calon PN bersedia untuk memenuhi keperluan masyarakat.

“Kenapa tidak? Kita boleh mengundi PN jika calon boleh memberi jaminan dan komited bahawa dia dan partinya boleh menjaga kepentingan serta kesejahteraan kaum India,” kata Vivia, seorang pengundi dari Rasa, sebuah daerah yang terletak di bawah kawasan KKB.

Walaupun PN diketahui memperjuangkan agenda Melayu dan Islam, Vivia yang berusia 21 tahun itu berkata tidak ada salahnya memberi peluang kepada gabungan itu untuk membuktikan mereka juga boleh menjaga kepentingan orang lain.

“Kami tidak akan tahu jika kami tidak pernah memberi mereka peluang. Justeru, saya dan keluarga serius mempertimbangkan untuk memberi peluang kepada calon PN,” kata anak muda yang mengusahakan gerai minuman itu.

Kerusi KKB di Selangor kosong berikutan kematian Adun DAP tiga penggalnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac selepas bertarung dengan kanser.

PRK ini akan menyaksikan pertarungan empat penjuru antara calon DAP  Pang Sock Tao yang akan mewakili Pakatan Harapan, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional/Bersatu), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan calon bebas Nyau Ke Xin.

Kawasan KKB mempunyai pengundi campuran Melayu (53.40%), Cina (30.50%) dan India (15.82%). Selebihnya terdiri daripada Orang Asli dan lain-lain.

Daftar pemilih menyatakan terdapat 40,226 pemilih berdaftar di KKB di mana 6,362 daripadanya adalah pengundi India yang dikatakan menjadi pemilih dalam pilihan raya kecil ini.

Trend pengundian pengundi muda akan menjadi menarik terutamanya kerana segmen pengundi terbesar adalah dari kumpulan umur 21-30 tahun dengan 9,400 pengundi.

Seorang lagi pengundi di kawasan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Priya turut menyuarakan sentimen Vivia.

Priya berkata nasib dan kesusahan kaum India terus kekal di bawah kerajaan semasa dengan mendakwa tiada peningkatan kepada masyarakat.

“Saya masih ingat banyak yang dijanjikan ketika gabungan Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim berkempen untuk kuasa persekutuan.

“Malah Anwar sendiri sudah berkali-kali mengatakan kaum India adalah antara yang termiskin di negara ini.

“Tetapi apa yang dia lakukan untuk mengangkat masyarakat? Selepas mengambil alih kuasa tiada banyak yang dilakukan untuk memperbaiki keadaan masyarakat India. Keadaannya jauh atau lebih kurang sama.

“Ambil KKB sebagai contoh, kaum India di sini miskin dan terus mengalami inflasi dan kenaikan harga barang yang memberi kesan kepada kehidupan kami,” kata lelaki berusia 38 tahun itu sambil menambah majoriti penduduk India di situ berpendapatan rendah.

Priya berkata, tiada apa-apa perkara penting dilakukan untuk masyarakat India sejak kerajaan perpaduan mula berkuasa.

“Sebenarnya pada ketika ini kita sangat kecewa sehingga tidak kira siapa yang kita undi. Bagi saya, mengundi PH sama seperti mengundi PN juga kerana akhirnya kaum India akan diketepikan,” tambahnya.

Bagaimanapun dia mengakui kini sudah beraling ke arah menyokong PN.

“Saya ada saudara mara di Kedah dan mereka nampak gembira dan baik di bawah pentadbiran PN di sana.

“Jika orang India tidak berpuas hati saya pasti mereka tidak akan mengundi kerajaan negeri yang sama lagi tahun lepas,” katanya merujuk kepada pilihan raya enam negeri yang diadakan pada Ogos yang berakhir dengan status quo.

Baru-baru ini Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan beliau gagal menjaga masyarakat India sejak memegang jawatan.

“Jika saya tidak melakukan apa-apa untuk masyarakat India, anda berhak ‘menikam’ saya,” katanya.

Priya berkata kata-kata itu tidak lain hanyalah aksi politik semata-mata, mendakwa ia bertujuan untuk pilihan raya kecil.

Hanya ceramah pilihan raya

Seorang lagi pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Vanan berkata semua ahli politik adalah sama dan mendakwa kaum India dan nasib mereka hanya dilihat apabila ada keperluan.

“Lihat sahaja trend. Masyarakat India dan masalah mereka hanya akan dibicarakan dan ditangani apabila ada pilihan raya atau apabila ada keperluan untuk sokongan masyarakat.

“Di sini mereka tahu masyarakat India adalah ‘king maker’ tetapi selepas pilihan raya, orang India akan dilayan seperti pelawak, di mana keadaan akan kembali normal dan orang India akan terus menderita sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Dan ketika itulah ahli politik akan datang mencari lagi,” kata bapa kepada tiga anak itu.

“Janji dan komitmen semasa berkempen boleh jadi semanis gula tetapi selepas itu apabila pilihan raya berakhir dan apabila realiti melanda ia akan menjadi pahit seperti hempedu,” katanya sambil menambah dia sedang memboikot pilihan raya akan datang.

“Lihat sahaja mereka yang berada dalam kerajaan sekarang. Dulu mereka mengkritik cukai barang dan perkhidmatan (GST), kini mereka rasa lebih baik.

“Banyak yang dikritik oleh mereka yang sedang berkuasa tetapi lihat sahaja bagaimana mereka memutar belit dan mengubah keadaan sekarang, hanya untuk kemudahan mereka bukan untuk orang ramai,” tambahnya.

Vanan merujuk kepada bagaimana PH bersetuju untuk mengadakan pakatan dengan musuh lama Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya untuk berkuasa.

Beliau berkata DAP yang menamakan calonnya untuk kerusi DUN itu pernah mengkritik Umno, BN dan pentadbiran mereka tetapi kini bekerjasama supaya mereka boleh berkuasa.

“Parti politik tidak ada maruah, mereka boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan ada keperluan untuk mereka dan ada keperluan untuk berkuasa.

“Inilah sebabnya saya sudah muak dengan politik di sini dan saya memutuskan untuk memboikot pilihan raya kecil ini,” katanya.

Bekas pemimpin DAP P. Ramasamy dalam kempen untuk memujuk pengundi India mengundi menentang calon DAP, memetik rasa tidak puas hati dengan layanan kerajaan perpaduan terhadap masyarakat India.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang II itu berkata gesaan untuk mengenepikan PH adalah untuk mengajar kerajaan persekutuan pimpinan PH satu pengajaran yang “menyakitkan” mengenai layanannya terhadap masyarakat India.

Manakala bagi Anchala Devi yang menjalankan perniagaan pengangkutan berkata undinya akan sentiasa untuk PH.

Menurutnya dia tidak mempunyai keyakinan terhadap PN dan mereka akan menjaga masyarakat India atau Cina.

“Undi saya akan sentiasa untuk PH kerana PN sangat ekstremis.

“Saya tidak nampak kaum India dan Cina akan mendapat manfaat yang besar jika PN menang.

“Kita boleh lihat Selangor maju dengan baik di bawah PH dan kini bersama BN,” tambahnya.

Pada pilihan raya negeri yang lalu pada Ogos, kerajaan perpaduan PH-BN kehilangan majoriti dua pertiga Selangor. – 2 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen