GRS tak berminat kerjasama dengan Perikatan, Pejuang


Ketua Penerangan GRS Joniston Bangkuai berkata gabungan itu selesa dengan Pakatan Harapan. – Gambar fail The Vibes, 7 Mei, 2024.

GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) tidak berminat untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana gabungan selain Pakatan Harapan (PH), kata ketua penerangannya Joniston Bangkuai.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pada Isnin bahawa gabungan itu akan meneliti sama ada mahu bekerjasama dengan parti lain termasuk GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 nanti.

Tidak ketinggalan, Mukhriz Mahathir pada Sabtu lalu juga dilaporkan berkata parti pimpinannya Pejuang terbuka untuk bekerjasama dengan GRS.

“Mengambil kira keyakinan rakyat kepada GRS dan keserasiannya dengan PH Sabah dalam mentadbir negeri, tiada sebab untuk gabungan parti tempatan ini menjalin kerjasama dengan parti lain yang berpangkalan di Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

PH Sabah menyokong Pengerusi GRS Hajiji Noor yang juga ketua menteri Sabah selepas sekumpulan pemimpin Umno didakwa berkompot dengan Warisan untuk menggulingkan kerajaan negeri diterajui GRS pada awal 2022.

Mengulas lanjut, Joniston berkata GRS melihat hasrat Pejuang dan Bsersatu untuk bekerjasama sebagai tanda keyakinan mereka terhadap keikhlasan dan kesungguhan gabungan parti tempatan itu menerajui kerajaan negeri.

“Sebagai gabungan parti tempatan, GRS akan sentiasa berpandu kepada pandangan dan sentimen rakyat Sabah dalam membuat sebarang keputusan,” katanya. – 7 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen