Kemiskinan bandar melanda KL, kata laporan Unicef


Kumpulan isi rumah berpendapatan rendah mendapati keluarga golongan ini lebih bergelut ketika ini berbanding semasa tempoh Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2024.

LAPORAN Unicef ​​mengenai isi rumah berpendapatan rendah di Kuala Lumpur selepas pandemik mendapati keluarga golongan ini lebih bergelut ketika ini berbanding semasa tempoh Covid-19.

Menurut laporan The Living on the Edge yang dikeluarkan awal minggu ini, lapan daripada 10 keluarga bergelut untuk memenuhi keperluan asas mereka. Ini lebih tinggi berbanding tujuh daripada 10 semasa tempoh pandemik Covid-19.

Ia juga mendapati golongan wanita yang menjadi ketua isi rumah dan orang kurang upaya (OKU) berdepan cabaran lebih besar serta berada dalam situasi yang lebih teruk.

Laporan ini adalah susulan daripada kajian Families on the Edge yang dikeluarkan semasa pandemik Covid-19.

Ia mengkaji laluan pemulihan pasca-pandemik isi rumah ini dalam konteks peningkatan kos sara hidup, mengesyorkan perlindungan sosial yang diperkukuh untuk memastikan lantai perlindungan sosial minimum tersedia terutamanya untuk golongan yang paling terdedah.

Tinjauan itu dijalankan dari 14 Oktober 2023 hingga 16 November 2023 dengan data dikumpul daripada sejumlah 755 isi rumah berpendapatan rendah yang tinggal di 16 perumahan awam kos rendah di Kuala Lumpur.

“Memastikan pemulihan pasca wabak bermakna menjaga mereka yang paling terdedah: keluarga berpendapatan rendah terutamanya isi rumah yang diketuai oleh wanita dan individu kurang upaya.

“Hidup bukan semata-mata tentang rezeki tetapi juga tentang kualiti hidup. Melabur dalam kedua-duanya memastikan kanak-kanak dan keluarga bukan sahaja bertahan tetapi berkembang, memupuk masa depan di mana setiap individu mempunyai peluang untuk berkembang” kata Ketua Dasar Sosial Unicef ​​Malaysia Juanita Vasquez-Escallon,.

Laporan itu juga menunjukkan walaupun keluarga telah pulih dari segi pekerjaan dan pendapatan, kemiskinan berterusan dengan 41% mengalami kemiskinan mutlak dan 17% berdepan kemiskinan tegar.

“Ini terutamanya berleluasa dalam kalangan isi rumah yang diketuai wanita dan golongan OKU.

“Kos sara hidup yang semakin meningkat memburukkan lagi kesukaran, dengan lapan daripada 10 keluarga bergelut untuk memenuhi keperluan asas menyebabkan pilihan melampau seperti mengurangkan pengambilan makanan.

“Kesan ke atas kesihatan mental adalah ketara dengan satu daripada 4 mengalami kemurungan terutamanya lebih tinggi daripada semasa wabak,” tambah laporan itu.

Beberapa penemuan penting lain termasuk:

> Kenaikan harga makanan memberi impak sebenar kepada kebanyakan isi rumah berpendapatan rendah (90%) memaksa mereka membuat pilihan yang melampau termasuk mengurangkan pengambilan makanan. Seorang daripada dua kanak-kanak kini dilaporkan makan kurang daripada tiga kali sehari.

> Walaupun yuran sekolah tidak berubah, kos yang berkaitan seperti pengangkutan, wang saku, aktiviti kokurikulum meningkat yang membawa kepada peningkatan kebimbangan ibu bapa tentang akses dan kualiti pendidikan.

> Sebagai tindak balas kepada peningkatan kos sara hidup, keluarga bekerja lebih keras dan kurang berbelanja. Ini mengakibatkan kesan negatif terhadap kesihatan mental responden. Tiga daripada empat mengalami kesan buruk terhadap kesejahteraan mental, dan satu dan empat mengalami kemurungan, yang lebih tinggi daripada semasa wabak.

Butiran penemuan utama boleh didapati di sini.

Cadangan Unicef

Berdasarkan penemuan dalam laporan itu Unicef ​​membuat beberapa saranan kepada kerajaan termasuk menyediakan elaun mampu milik RM200 sebulan untuk semua ibu hamil sehingga anak berusia dua tahun.

Begitu juga, ia juga berkata kerajaan boleh memberi elaun sejagat untuk OKU bagi menyediakan tahap jaminan pendapatan yang mencukupi dan melengkapkan penjagaan kesihatan dan perlindungan pekerjaan sedia ada.

Pada masa yang sama, elaun perlu dilanjutkan kepada penjaga utama (yang kebanyakannya wanita) ahli keluarga yang OKU.

Unicef ​​juga berkata kerajaan perlu menghulurkan bantuan kepada mereka yang berpendapatan di bawah garis kemiskinan, atau mereka yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM2,589 (RM681 per kapita).
Ketika ini bantuan hanya diberikan kepada isi rumah dengan RM1,198 sebulan (RM315 per kapita).

Agensi PBB juga berkata kerajaan boleh meningkatkan kesedaran kesihatan dan Hak Kesihatan Reproduktif dan Seksual (SRHR) serta kesejahteraan mental.

Mereka berkata program jangkauan komuniti mesti diperluaskan untuk melengkapkan lelaki, wanita dan keluarga dengan pengetahuan penting, memudahkan perancangan awal, membuat keputusan termaklum dan memastikan akses kepada penjagaan pencegahan.

“Terdapat juga keperluan mendesak untuk meningkatkan campur tangan berasaskan komuniti termasuk kumpulan sokongan untuk menangani cabaran kesihatan mental secara berkesan dan memupuk kesejahteraan mental keseluruhan dalam komuniti,” katanya.

Akhir sekali, Unicef ​​juga berkata Putrajaya perlu menaikkan gaji minimum kepada RM2,287 sebulan, bukannya RM1,500 sebulan. Ini adalah untuk mengambil kira faktor utama seperti kos sara hidup, pendapatan garis kemiskinan dan produktiviti.

Mereka berkata gaji sara hidup semasa seperti yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia ialah RM2,700.

Kejayaan mengatasi kemiskinan

Pada Februari Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan  kemiskinan tegar telah dihapuskan di Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Kerajaannya sebelum ini berkata pembasmian kemiskinan tegar adalah antara matlamat utamanya.

Anwar berkata usaha membasmi kemiskinan tegar bukan sahaja melibatkan majoriti Melayu tetapi juga melibatkan kaum lain seperti India, Cina dan lain-lain.

“Di Kuala Lumpur walaupun majoritinya Melayu, nisbah mengikut populasi menyatakan status kaum India adalah tinggi dan kami akan membantu setiap keluarga di Kuala Lumpur keluar daripada garis kemiskinan tegar. Ini adalah pendekatan kami tetapi kadangkala kami berdepan pemimpin yang mencari peruntukan untuk kaum India.

“Pada saya setiap isu miskin tegar tidak kira Cina, Melayu atau India sudah diselesaikan di Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Daripada statistik yang kami terima, kami telah mencapai 100 peratus,” katanya

Pada November tahun lepas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kadar kemiskinan tegar menurun kepada 0.2% menjejaskan 18,445 isi rumah berbanding 1% pada 2020 ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Bagi tahun 2022 kerajaan pada masa itu berkata jumlah isi rumah yang diklasifikasikan sebagai miskin tegar menurun kepada 129,395 berbanding 260,000 pada 2021 apabila impak Covid-19 memuncak. – 10 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen