Ketua Unicef sifatkan gaza umpama padang jarak padang tekukur


Ribuan kediaman dan bangunan, termasuk hospital, masjid, dan gereja rosak atau musnah dalam serangan tentera penceroboh Israel ke atas Semenanjung Gaza. – Gambar AFP, 16 November, 2023.

KETUA Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) pada Rabu menyifatkan keadaan di Semenanjung Gaza umpama “padang jarak padang tekukur” ekoran serangan kejam Israel di wilayah Palestin yang dikepung.

“Hari ini saya melawat Semenanjung Gaza untuk bertemu dengan kanak-kanak, keluarga mereka dan kakitangan Unicef. 

“Apa yang saya lihat dan dengar amat mendukacitakan. Mereka terpaksa mengharungi bom berulang kali, kemusnahan dan hilang tempat tinggal.

“Di wilayah ini, tiada tempat selamat untuk 1 juta kanak-kanak Gaza,” kata Pengarah Eksekutif Unicef Catherine Russell dipetik Agensi Anadolu

Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata lebih 4,600 kanak-kanak terbunuh dan hampir 9,000 lagi cedera di Semenanjung Gaza.

“Ramai kanak-kanak hilang dan dipercayai tertimbus di bawah runtuhan bangunan dan rumah susulan penggunaan bahan letupan di kawasan berpenduduk.

“Bayi yang baru lahir yang memerlukan penjagaan khusus meninggal dunia di sebuah hospital di Gaza kerana tiada bekalan elektrik dan kelengkapan perubatan, di tengah-tengah keganasan yang berterusan dengan kesan yang teruk,” kata Russell.

Beliau seterusnya menggesa pihak-pihak yang terlibat dalam konflik Gaza supaya “menghentikan kekejaman”.

“Saya sekali lagi menyeru semua pihak supaya memastikan kanak-kanak dilindungi dan dibantu, mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Hanya pihak yang terlibat dalam konflik boleh menghentikan keganasan ini,” katanya.

Sekurang-kurangnya 11,320 rakyat Palestin terbunuh termasuk hampir 7,800 wanita dan kanak-kanak, dan lebih 29,200 lagi cedera sejak 7 Okt, menurut angka terkini pihak berkuasa Palestin.

Beribu-ribu bangunan, termasuk hospital, masjid, dan gereja rosak atau musnah dalam serangan tentera penceroboh Israel. – Bernama, 16 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen