Israel sengaja lengah perjanjian pertukaran tahanan, kata Hamas


Seorang wanita Palestin yang cedera dikelilingi anak-anaknya sebaik tiba di Hospital Nasser di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza berikutan serangan udara Israel. – Gambar AFP, 14 November, 2023.

SAYAP tentera Hamas pada Isnin menuduh Israel sengaja melengah-lengahkan perjanjian yang dirunding oleh Qatar untuk membebaskan puluhan tebusan yang ditahan di Gaza, sebagai sebahagian daripada skim pertukaran tahanan.

Abu Obeida, jurucakap sayap bersenjata gerakan Islam berkata: “Mediasi Qatar mengetuai usaha untuk membebaskan 100 tebusan Israel sebagai balasan kepada 200 kanak-kanak Palestin dan 75 wanita yang ditahan di penjara Israel.

“Kami memaklumkan kepada pengantara yang kami boleh membebaskan tebusan jika memperoleh lima hari gencatan senjata… dan penghantaran bantuan kepada semua rakyat kami di seluruh Semenanjung Gaza, tetapi musuh sengaja berlengah-lengah,” katanya dalam satu kenyataan audio.

Pada Ahad, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memberitahu media Amerika Syarikat (AS) “mungkin ada” perjanjian untuk membebaskan tahanan yang ditahan di Gaza, tetapi tidak memberikan sebarang butiran lanjut.

Pegawai Israel berkata kira-kira 240 orang, termasuk warga asing, dijadikan tahanan apabila Hamas dari Semenanjung Gaza masuk melalui sempadan pada 7 Oktober.

Israel kemudian memulakan kempen pengeboman intensif di Gaza yang menurut kerajaan Hamas membunuh 11,240 orang, yang kebanyakannya orang awam.

Pemimpin politik dan ketua tentera di Israel berkata tidak akan ada gencatan senjata sehingga tebusan dibebaskan. – AFP, 14 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen